Pelajar Tingkatan 2 hilang dari sekolah di Seremban

Qayzikri Hazimi hilang dari sekolah sejak Selasa.
Qayzikri Hazimi hilang dari sekolah sejak Selasa.
A
A
A

SEREMBAN - Polis memohon bantuan orang ramai untuk mengesan seorang pelajar Tingkatan Dua yang dilaporkan hilang dari sekolahnya di Sikamat di sini pada tengah hari Selasa.

Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner, Mohamad Hatta Che Din berkata, pelajar berkenaan dikenali sebagai Qayzikri Hazimi berusia 14 tahun.

Menurutnya, susulan daripada kes tular di media sosial yang melibatkan orang hilang, jam lebih kurang 5.12 petang, polis telah menerima aduan daripada guru menyatakan bahawa seorang pelajar lelaki telah melarikan diri dari sebuah sekolah.

"Jam lebih kurang 10.30 pagi, guru berkenaan telah dimaklumkan oleh pelajar lain bahawa seorang pelajar lelaki dari Tingkatan Dua telah tiada di dalam kelas.

"Pihak sekolah telah cuba mencari di dalam kawasan sekolah dan juga asrama tetapi gagal dijumpai. Punca pelajar tersebut melarikan diri masih dalam siasatan," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Ujarnya, dalam kes ini, seorang saksi iaitu rakan sekelas telah nampak pelajar tersebut keluar dari kelas dengan membawa beg sekolah dan terus ke bahagian belakang asrama. Usaha mengesan sedang giat dijalankan.

"Kes diklasifikasikan sebagai kes orang hilang dan disiasat di bawah Kes Enkuiri Polis (KEP) Orang Hilang (OH).

"Berikutan itu mana-mana pihak yang mempunyai maklumat atau ternampak pelajar tersebut agar menghubungi Penolong Pegawai Penyiasat Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seremban, Sarjan Shahrul Azhar Hamdan di talian 014-3434007," katanya.

Artikel Berkaitan:

Sinar Harian difahamkan, Qayzikri Hazimi dilaporkan ketika hilang memakai pakaian sukan sekolah.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!