Serahan dokumen kes lelaki cuba bunuh isteri di KLIA 15 Oktober ini

Pada 25 April lepas, Hafizul didakwa di Mahkamah Sesyen di sini atas pertuduhan cuba membunuh isterinya Farah Md Isa, 38. Gambar fail
Pada 25 April lepas, Hafizul didakwa di Mahkamah Sesyen di sini atas pertuduhan cuba membunuh isterinya Farah Md Isa, 38. Gambar fail
A
A
A

SEPANG - Mahkamah Sesyen Sepang pada Rabu menetapkan 15 Oktober ini untuk penyerahan dokumen bagi kes seorang pengurus sebuah syarikat agensi pelancongan yang didakwa cuba membunuh isterinya dan menyebabkan kecederaan parah terhadap seorang pengawal peribadi kepada wanita itu.

Hakim Amir Affendy Hamzah menetapkan tarikh berkenaan selepas Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Zuhaini Mahamad Amin memaklumkan sebahagian dokumen belum diserahkan kepada pasukan pembelaan.

"Saya dimaklumkan sebahagian dokumen telah diserahkan kepada pihak pembelaan, setakat ini yang diterima laporan forensik manakala laporan-laporan lain masih lagi belum diterima.

"Justeru, pihak pendakwaan memohon satu tarikh sekali lagi bagi melengkapkan kesemua dokumen untuk diserahkan kepada pihak pembelaan sebelum tarikh bicara ditetapkan," kata Ahmad Zuhaini.

Semasa prosiding, peguam Nik Azim Azlan yang mewakili Hafizul Hawari, 38, mengesahkan bahawa sebahagian dokumen telah diserahkan kepada pembelaan.

Selepas mendengar makluman kedua-dua belah pihak, Amir Affendy menetapkan 15 Oktober bagi sebutan semula kes untuk serahan dokumen lanjutan seperti yang dimaklumkan pihak pendakwaan.

Pada 25 April lepas, Hafizul didakwa di Mahkamah Sesyen di sini atas pertuduhan cuba membunuh isterinya Farah Md Isa, 38, di Balai Ketibaan Antarabangsa Aras 3, Terminal 1, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini pada jam 1.09 pagi, 14 April.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun serta denda, dan jika menyebabkan kecederaan hendaklah dipenjara hingga 20 tahun jika sabit kesalahan.

Artikel Berkaitan:

Dia juga didakwa dengan sengaja menyebabkan cedera parah terhadap pengawal peribadi isterinya itu, Mohd Nur Hadith Zaini, 38, dengan menggunakan pistol yang boleh menyebabkan kematian di lokasi, tarikh dan masa yang sama.

Bagi pertuduhan itu, Hafizul didakwa mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan yang boleh membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda atau sebat, jika sabit kesalahan.

Pada 24 April, Hafizul mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kota Bharu, Kelantan atas tujuh pertuduhan termasuk memiliki senjata api. - Bernama

Ringkasan berita:

  • Tarikh Penyerahan Dokumen: 15 Oktober 2024 ditetapkan untuk penyerahan dokumen bagi kes cubaan bunuh oleh seorang pengurus syarikat terhadap isterinya dan mencederakan pengawal peribadi isterinya.
  • Keputusan Mahkamah: Hakim Amir Affendy Hamzah menetapkan tarikh tersebut selepas dimaklumkan bahawa sebahagian dokumen masih belum diserahkan kepada pembelaan.
  • Dokumen yang Belum Lengkap: Timbalan Pendakwa Raya memaklumkan bahawa laporan forensik telah diserahkan, tetapi laporan lain masih belum diterima.
  • Pertuduhan: Hafizul Hawari, 38, didakwa mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan atas cubaan membunuh. Dia juga didakwa mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan atas kesalahan mencederakan.
  • Hukuman: Pertuduhan di bawah Seksyen 307 memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun serta denda, dan jika menyebabkan kecederaan, hukuman penjara hingga 20 tahun. Pertuduhan di bawah Seksyen 326 membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun, denda, atau sebat.
  • Pengakuan Tidak Bersalah: Hafizul mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kota Bharu atas tujuh pertuduhan termasuk memiliki senjata api pada 24 April.
Dijana oleh AI

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!