Lelaki baru keluar penjara didakwa edar 2,850 gram kanabis

Seorang lelaki yang baru sahaja keluar penjara Februari lepas didakwa di Mahkamah Majistret di sini pada Rabu atas pertuduhan mengedar kanabis di Padang Besar pada 18 Ogos lepas. Gambar hiasan
Seorang lelaki yang baru sahaja keluar penjara Februari lepas didakwa di Mahkamah Majistret di sini pada Rabu atas pertuduhan mengedar kanabis di Padang Besar pada 18 Ogos lepas. Gambar hiasan
A
A
A

KANGAR - Seorang lelaki yang baru sahaja keluar penjara Februari lepas didakwa di Mahkamah Majistret di sini pada Rabu atas pertuduhan mengedar kanabis di Padang Besar pada 18 Ogos lepas.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan dan Yusfazli Yusof, 32, hanya mengangguk faham terhadap pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Ana Rozana Mohd Nor.

Mengikut pertuduhan itu, Yusfazli yang tidak bekerja dituduh mengedar dadah berbahaya iaitu kanabis seberat 2,850 gram di hadapan sebuah kedai wakil insurans, Jalan Padang Besar di Padang Besar pada jam 12.05 tengah hari, 18 Ogos.

Lelaki itu yang sebelum ini menjalani hukuman penjara tiga tahun berkaitan kes dadah, didakwa mengikut Seksyen 39B(1)(A) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39B(2) akta sama yang membawa hukuman gantung sehingga mati atau penjara seumur hidup dan tidak kurang 12 sebatan.

Yusfazli tidak dibenarkan diikat jamin kerana kes itu berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Mahkamah menetapkan 5 Disember ini untuk sebutan semula kes.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Polis Diraja Malaysia (PDRM) Perlis, Asisten Superintenden Mohd Musa Ujang manakala tertuduh tidak diwakili peguam. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!