[VIDEO] DBKL tutup lokasi lubang baharu guna tali keselamatan, penghadang air
KUALA LUMPUR - Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bertindak menutup satu lagi kawasan tanah mendap menggunakan tali keselamatan dan penghadang air di Jalan Masjid India di sini yang dikesan pada Rabu.
Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Dr Maimunah Mohd Sharif berkata, kejadian tanah mendap terbabit dikesan berlaku kira-kira jam 2.30 pagi berdekatan Pondok Polis Masjid India.
"Sebagai langkah keselamatan, kawasan kejadian telah ditutup menggunakan tali keselamatan dan penghadang air.
"Tindakan segera diambil oleh DBKL dengan penglibatan Indah Water Konsortium (IWK) yang kini menjalankan pemeriksaan paip kumbahan di lokasi tersebut serta di kawasan sekitarnya bagi memastikan tiada kerosakan lanjut," katanya menerusi kenyataan pada Rabu.
Katanya, DBKL akan terus bekerjasama erat dengan Indah Water Konsortium serta agensi-agensi lain untuk memastikan tindakan susulan yang berterusan dilaksanakan.
"Keselamatan dan kesejahteraan warga Kuala Lumpur adalah keutamaan kami."
"DBKL akan terus memantau keadaan ini dan mengambil langkah-langkah sewajarnya untuk memastikan keselamatan awam," katanya.
Terdahulu, media melaporkan satu lagi lubang dikesan kira-kira 50 meter dari lokasi insiden tanah jerlus dekat Jalan Masjid India di sini pada Rabu.
Sementara itu, alat pengesan Ground Penetrating Radar (GPR) atau radar menembusi tanah terus digunakan pada hari keenam untuk mengesan wanita warga India yang masih hilang dalam insiden tanah jerlus di Jalan Masjid India di sini.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!