Ahli perniagaan didakwa tipu urusan tanah pajak kerajaan negeri Sembilan
KUALA LUMPUR - Seorang ahli perniagaan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini pada Rabu atas pertuduhan menipu seorang pemilik syarikat pertanian bagi mendapatkan tanah pajak pertanian Kerajaan Negeri Sembilan membabitkan kerugian lebih RM300,000, empat tahun lepas.
Ahmad Faizal Ismal, 35, didakwa menipu Tan Beng Wee, 43, dengan memperdayakan mangsa dalam urusan mendapatkan tanah pajak pertanian di Tampin sehingga mendorong mangsa menyerahkan RM345,000 ke dalam akaun bank milik tertuduh serta wang tunai RM5,000 kepadanya.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah firma guaman di Jalan Cheras di sini, pada 24 November 2020, mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang setahun dan maksimum 10 tahun dengan sebat dan boleh didenda, jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Amir Haniff Ahijman menawarkan jaminan RM70,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan pasport tertuduh diserahkan kepada mahkamah sehingga kes selesai.
Peguam Datuk Mior Faridalathrash Wahid yang mewakili tertuduh memohon supaya jaminan dikurangkan dengan alasan anak guamnya memberi kerjasama baik sepanjang siasatan polis.
Hakim Azrul Darus membenarkan tertuduh diikat jamin RM50,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan yang dipohon pendakwaan dan menetapkan 30 September ini untuk sebutan kes. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!