Presiden MPN, profesor didakwa pecah amanah RM271,000

Profesor Emeritus Datuk Dr Raduan Che Rose (kiri), Profesor Datuk Dr Kefli Mahbol
Profesor Emeritus Datuk Dr Raduan Che Rose (kiri), Profesor Datuk Dr Kefli Mahbol
A
A
A

SHAH ALAM – Presiden Majlis Profesor Negara (MPN) dan seorang lagi profesor mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini pada Rabu, masing-masing atas tujuh pertuduhan pecah amanah dan bersubahat bernilai RM271,000 pada tahun 2023 dan tahun ini.

Tertuduh, Profesor Emeritus Datuk Dr Raduan Che Rose, 64, dan Profesor Datuk Dr Kefli Mahbol, 65, membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim, Datuk Anita Harun.

Bagi dua pertuduhan terhadap Raduan, dia sebagai Presiden MPN didakwa melakukan pecah amanah dana syarikat itu berjumlah RM71,000 ke akaun bank milik Kefli.

Dia turut didakwa lima pertuduhan sebagai Pengarah MPN Global Reach Sdn Bhd telah melakukan jenayah sama bagi wang pendahuluan program UKMShape-MPN Global Reach Sdn Bhd dengan nilai keseluruhan RM200,000 melalui lima cek sebuah bank juga kepada Kefli.

Kesalahan didakwa dilakukan di pejabat MPN di Country Height Kajang antara 14 Mac 2023 hingga 15 April tahun ini.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun, sebat dan denda.

Raduan yang kini menjawat Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti Teknologi Mara (UiTM) turut memaklumkan dia telah berkhidmat lebih 40 tahun dan terperanjat dengan pertuduhan.

“Saya kesal dengan semua pertuduhan ini kerana saya percaya tidak melakukan apa-apa kesalahan.

Artikel Berkaitan:

“Saya masih tidak boleh menerima hakikat itu kerana kes berkenaan menyebabkan reputasi tercalar, sedangkan wang berkenaan merupakan gaji yang halal dan titik peluh beliau (Kefli), saya mengaku tidak bersalah,” katanya.

Sementara dua pertuduhan terhadap Kefli, bapa kepada dua anak ini didakwa bersubahat dengan Raduan untuk melakukan pecah amanah jenayah berkenaan dana peruntukan MPN berjumlah RM71,000 telah diamanahkan kepada Raduan.

Bagi pertuduhan ketiga hingga kelima, dia didakwa bersubahat dengan Raduan untuk melakukan pecah amanah jenayah berkenaan wang pendahuluan bagi program UKMShape-MPN Global Reach Sdn Bhd berjumlah RM200,000 melalui lima cek bank sama, di lokasi dan tarikh serupa.

Semua pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 109 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 409 kanun sama, yang membawa hukuman penjara antara dua hingga 20 tahun, dan sebat, dan hendaklah juga dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Law Chin How manakala dua tertuduh itu diwakili peguam, Mohd Khairul Azam Abdul Aziz.

Selepas mendengar permohonan daripada semua pihak, Anita membenarkan setiap tertuduh diberi ikat jamin sebanyak RM40,000 dengan seorang penjamin.

“Ia termasuk syarat tambahan, melapor diri di pejabat SPRM Putrajaya sekali setiap bulan dan tidak mengganggu saksi pendakwaan,” katanya yang menetapkan sebutan semula kes pada 23 Oktober depan.

Pada 4 Julai lalu, laporan Ketua Audit Negara (LKAN) siri 2/2024 mendedahkan MPN menyalahgunakan pembiayaan kewangannya.

Menurut laporan itu, MPN sebagai sebuah Syarikat Berhad Menurut Jaminan (SBMJ) yang dikawal selia Jabatan Perdana Menteri (JPM), didapati membiayai operasi dua syarikat persendirian berjumlah RM373,516.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!