SAM mahu DBKL dedah langkah mitigasi, keselamatan
GEORGE TOWN - [DIKEMAS KINI] Sahabat Alam Malaysia (SAM) menyokong saranan agar Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) membuat pemetaan utiliti bawah tanah selain mendedahkan kepada umum langkah mitigasi dan keselamatan yang sedang diambil untuk mengelakkan tragedi tanah jerlus berulang.
Presiden SAM, Meenakshi Raman berkata, pihaknya amat bimbang terhadap kejadian terbaharu tanah jerlus yang berlaku di Jalan Masjid India di ibu negara baru-baru ini.
Menurutnya, kejadian tersebut telah menimbulkan kebimbangan mengenai keselamatan awam di kawasan tersebut serta di bahagian lain di Kuala Lumpur.
"Orang ramai amat bimbang dengan keselamatan di kawasan Kuala Lumpur yang dilihat terdedah kepada pelbagai ancaman, termasuk tanah jerlus, pemendapan tanah, banjir kilat, tanah runtuh dan runtuhan cerun. Semua kejadian ini sering berlaku apabila hujan lebat yang kerap.
"Oleh itu, tindakan lebih menyeluruh serta langkah-langkah pencegahan yang berkesan perlu segera diambil untuk melindungi keselamatan awam, bukan hanya di kawasan Jalan Masjid India malah di semua kawasan berisiko tinggi di bandar raya tersebut, bagi mengelakkan insiden buruk pada masa hadapan.
"Sehubungan itu, SAM menyokong saranan agar DBKL mengeluarkan peta bawah tanah bandar raya tersebut serta mendedahkan langkah mitigasi yang sedang diambil bagi mengelakkan kejadian yang sama berulang lagi," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Meenakshi berkata, dalam jangka masa pendek dan panjang, DBKL perlu merangka pelan adaptasi yang lebih baik untuk menghadapi impak perubahan iklim selain kejadian cuaca ekstrem.
"Ia termasuk memperkukuhkan ketahanan infrastruktur, mengurangkan risiko dan kerentanan terhadap banjir dan memperbaiki kestabilan tanah.
"Selain itu, DBKL perlu melaksanakan pendekatan berasaskan ekosistem yang mampu menyerap air serta mengurangkan limpahan air ke dalam longkang dan sungai," tambahnya lagi.
Kata Meenakshi, pihaknya juga mencadangkan beberapa langkah untuk meningkatkan keselamatan awam di kawasan-kawasan umum antaranya pembentukan satu jawatankuasa antara agensi yang diselaraskan oleh Datuk Bandar Kuala Lumpur untuk menyelia, memantau dan memeriksa kawasan berisiko tinggi.
"Antara langkah lain adalah menyampaikan maklumat kepada orang ramai mengenai langkah-langkah yang sedang diambil untuk mengurangkan risiko bencana dan menambah papan tanda serta penghadang di kawasan berisiko tinggi bagi memberi amaran dan meningkatkan kesedaran awam.
"Pihak berkuasa juga dicadangkan untuk melaksanakan langkah-langkah tindak balas kecemasan yang lebih berkesan di kawasan berisiko tinggi termasuk mendidik orang awam mengenai tindakan yang perlu diambil.
"Selain itu, pihak berkaitan perlu memastikan ketelusan dan komunikasi yang lebih baik dengan penduduk serta orang awam di kawasan berisiko tinggi berkaitan langkah-langkah keselamatan dan tindak balas terhadap insiden," kata beliau lagi.
Tambahnya, langkah-langkah yang lebih komprehensif perlu diambil untuk mencegah dan mengurangkan risiko bencana pada masa hadapan.
"Selain daripada isu tanah jerlus dan pemendapan tanah, SAM juga amat prihatin terhadap risiko banjir kilat seperti yang berlaku di Stesen LRT Masjid Jamek pada tahun 2020 yang menyebabkan kerugian besar dan kerosakan di kawasan lain di bandar tersebut," ujarnya.
Dalam kejadian kira-kira jam 8 pagi Jumaat lalu, mangsa, wanita warga India berusia 48 tahun dikatakan bersiar-siar bersama keluarga di kawasan Jalan Masjid India terjatuh selepas tiba-tiba berlaku mendapan tanah yang turut menyebabkan tanah jerlus.
Kejadian itu menyebabkan seorang wanita dikenali sebagai Vijayaletchumy, 48, dari Kuppam, Andhra, India hilang selepas terjatuh ke lubang sedalam lapan meter di situ.
Sehingga kini, operasi mencari dan menyelamat yang sudah memasuki hari keenam masih dijalankan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!