Dadah RM2 juta dirampas, pasangan kekasih dalang sindiket ditahan
JOHOR BAHRU – Polis Johor menahan sepasang kekasih dipercayai terbabit dalam sindiket memproses dan mengedar dadah menerusi empat serbuan di sini, pada 17 Ogos lalu.
Ketua Polis Johor, Komisioner M Kumar berkata, hasil dari serbuan yang dilakukan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor pada jam 3.30 petang hingga 11.30 malam berjaya merampas dadah bernilai RM2 juta.
“Serbuan pertama dilakukan di sebuah rumah teres di Eco Flora di sini dan menahan seorang lelaki warga negara asing berusia 31 tahun dan merampas sejumlah dadah.
“Hasil soal siasat lelaki terbabit, polis seterusnya menahan teman wanitanya yang merupakan warga tempatan berusia 38 tahun di tepi jalan di Taman Setia Indah,” katanya ketika sidang akhbar di Dewan Dato Onn Ibu Pejabat Polis Kontinjen ( IPK) Johor di sini, pada Rabu.
Kumar memberitahu, hasil soal siasat ke atas wanita itu membawa kepada serbuan ketiga dan keempat di apartmen di Bukit Indah dan Majidee.
"Hasil serbuan polis merampas sebanyak 3.672 kilogram (kg) serbuk ekstasi bernilai RM613,340; 20.21 liter cecair ekstasi (RM1,350,028); 1.85g pil erimin 5; 12.80g pil ekstasi (RM2,100); 4.80g pil epam nitrazepam (RM160) dan 2.600 kg syabu (RM83,200).
"Nilai dadah berkenaan berjumlah RM2,048,968 yang boleh digunakan seramai 92,967 penagih.
"Polis turut merampas peralatan memproses dadah serta menyita sebuah kereta (RM360,000), wang tunai (RM131,598), pelbagai jenis barang kemas (RM8,880), wang tunai (SG$100) serta tiga akaun bank.
"Keseluruhannya nilai sitaan RM630,596,” katanya.
Tambah beliau, sindiket menggunakan premis-premis yang di sewa di kawasan berpagar dan berpengawal untuk memproses dadah daripada bahan-bahan kimia.
“Mereka ini ada kepakaran untuk memproses dadah. Polis masih siasat di mana bahan-bahan mentah untuk memproses dadah diperoleh.
“Dua suspek yang ditahan itu merupakan pasangan kekasih. Lelaki tersebut merupakan dalang sindiket ini," katanya.
Kumar berkata, pihaknya percaya masih ada lagi ahli sindiket yang masih bebas.
“Mereka yang masih bebas dipercayai ‘runner’ dan mengedarkan dadah secara kecil-kecilan untuk mengelak dikesan.
"Dadah yang diproses adalah untuk pasaran tempatan dan negara jiran,” katanya.
Kumar memberitahu, suspek lelaki didapati positif dadah jenis methamphetamine dan wanita berkenaan positif benzodiazepines.
"Kedua-dua suspek yang ditahan tidak memiliki sebarang rekod lampau.
"Mereka direman sehingga 31 Ogos ini dan kes disiasat bawah Seksyen 39b Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!