Tiada kelibat harimau belang di Jeram
KUALA SELANGOR - Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Selangor menolak dakwaan kehadiran seekor harimau belang yang tular di Bukit Botak, Jeram di sini pada Selasa.
Pengarahnya, Wan Mohd Adib Wan Mohd Yusoh berkata, siasatan mendapati lokasi penemuan harimau itu adalah di sekitar Kuala Betis, Kelantan.
"Saya sudah memeriksa dengan Jabatan Perhilitan Kelantan yang mengesahkan aduan mengenai video itu diambil pada 21 Ogos lalu," katanya ketika dihubungi pada Rabu.
Sehubungan itu, katanya, orang ramai dinasihatkan tidak menyebarkan perkara yang boleh menimbulkan kegelisahan penduduk setempat.
Ujar beliau, sebarang maklumat boleh disalurkan terlebih dahulu kepada Perhilitan Selangor bagi mendapatkan pengesahan dan tindakan lanjut.
"Selain itu, orang awam yang terserempak dengan hidupan liar terutama harimau diminta tidak mengambil tindakan sendiri dan menjauhkan diri ke tempat lebih selamat," tambahnya.
Terdahulu, tular video berdurasi 34 saat memaparkan pemandu sebuah kenderaan bertembung dengan harimau di Bukit Botak yang turut berada berdekatan kawasan Puncak Alam.
Perkara itu mendapat reaksi berbeza daripada netizen termasuk penduduk yang meluahkan rasa bimbang tentang tahap keselamatan di kawasan berkenaan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!