Perak mohon peruntukan Pusat bina tiga jambatan baharu

Saarani (dua dari kiri) ketika menyempurnakan Pelancaran Bantuan Baucar Buku Mahasiswa Perak 2024 di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini, pada Rabu.
Saarani (dua dari kiri) ketika menyempurnakan Pelancaran Bantuan Baucar Buku Mahasiswa Perak 2024 di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini, pada Rabu.
A
A
A

IPOH - Kerajaan negeri Perak akan mengemukakan permohonan kepada kerajaan Persekutusan untuk membina semula tiga jambatan yang runtuh akibat kejadian kepala air yang berlaku di Slim River, Tanjung Malim minggu lalu.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, ini kerana kos yang diperlukan bagi membina jambatan utama yang menghubungkan Slim Village dengan Behrang dianggarkan bernilai RM40 juta tidak termasuk dua lagi jambatan menghubungkan kampung-kampung di kawasan itu.

Menurutnya, pembinaan jambatan tersebut perlu disegerakan terutama jambatan utama memandangkan ia amat diperlukan bagi pelajar sekolah yang melalui jalan berkenaan setiap hari.

"Dimaklumkan ada keperluan untuk menyediakan peruntukan sekurang-kurangnya RM40 juta bagi menggantikan jambatan yang runtuh itu. Itu jambatan utama dan juga kita belum mendapat nilai sebenar bagi dua lagi jambatan runtuh iaitu jambatan yang menghubungkan kampung, jadi ini di bawah KKDW (Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah).

"Jadi kita putuskan kesemua peruntukan untuk membaik pulih itu, kita mohon ihsan daripada kerajaan persekutuan. Jadi kita akan tulis surat kepada mereka supaya ia dapat dibaiki dengan segera sebab ia telah menyebabkan berlakunya terputus hubungan di antara penduduk kampung khususnya bagi jambatan utama itu sebab pelajar-pelajar perlu ke sekolah dan mereka memerlukan jambatan itu sebagai penghubung," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini pada Rabu.

Saarani berkata, buat sementara waktu, Jabatan Kerja Raya (JKR) akan menyiapkan Jambatan Bailey bagi membolehkan ia digunakan sementara waktu oleh penduduk setempat.

Jelasnya, pembinaan Jambatan Bailey itu memerlukan masa untuk disiapkan memandangkan kerja-kerja pembersihan sisa kayu hanyut perlu dibuat terlebih dahulu.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Saarani memaklumkan setakat ini kerajaan negeri tidak menerima sebarang laporan mengenai penerokaan atau pembukaan tanah di kawasan berlakunya tragedi kepala air.

Bagaimanapun katanya, Jabatan Perancangan Bandar dan Desa (PLANMalaysia) sudah diarahkan untuk melihat sama ada terdapat pembangunan di kawasan bencana itu dibuat tanpa Kebenaran Merancang (KM) atau sebaliknya.

Menurutnya, dalam tahun lalu telah ditetapkan bahawa selain pembinaan bangunan yang memerlukan KM, pembangunan kawasan pertanian juga perlu memohon KM bagi mengelak berlaku bencana disebabkan aktiviti tersebut.

"Kita kena ada KM untuk pertanian sebab kita dapati banjir-banjir besar berlaku disebabkan oleh berlakunya pembugaran tanah atau berlakunya pembersihan tanah untuk pertanian tanpa kawalan termasuklah tanam semula getah oleh RISDA, tanam semula sawit oleh FELDA jadi kita tak tahu.

"Kadang-kadang mereka menebang masa musim hujan contohnya, sebab itu kita perlu ada KM untuk pertanian supaya kita kena jadualkan bila patut dia tebang pokok. Dia tak boleh tebang pokok pada musim hujan contohnya.

"Tapi setakat ini kita tak tahulah apa berlaku di Slim RIver itu. Adakah betul aktiviti-aktiviti pertanian itu dibuat sebegitu rupa, saya tak dapat maklum balas dari PLANMalaysia tapi kita dah beritahu tanggungjawab itu kepada PLANMalaysia dia kena turun padang melihat keadaan itu," katanya.

Kejadian kepala air yang berlaku pada Jumaat lalu mengakibatkan tiga jambatan runtuh dan terputus laluan iaitu jambatan struktur konkrit di jalan negeri manakala dua lagi merupakan jambatan kampung di Kampung Pasir dan Kampung Sungai Muda yang menghubungkan Kampung Piong.

Jambatan konkrit di Jambatan Lama Sungai Slim yang mempunyai lebar 7.5 meter dan panjang 77 meter runtuh selepas mengalami kegagalan disebabkan tidak dapat menahan tekanan daripada sisa kayu yang hanyut bersama aliran air deras.

Dalam perkembangan lain, Saarani melancarkan Bantuan Baucar Buku Mahasiswa Perak 2024 yang merupakan satu inisiatif strategik kerajaan negeri bagi meringankan beban mahasiswa daripada golongan sasar untuk membeli bahan bacaan pengajian.

Menurutnya, inisiatif yang dilaksanakan melalui Jawatankuasa Pendidikan dan Pengajian Tinggi, dengan kerjasama Pusat Aspirasi Anak Perak (PASAK) itu juga bertujuan menggalakkan budaya membaca dalam kalangan pelajar, merancakkan industri buku tempatan dan meringankan beban kewangan ibu bapa.

"Sebanyak RM232,500 diperuntukkan bagi menjayakan program ini dan akan disalurkan secara one-off kepada 1,550 mahasiswa yang layak. Mereka akan menerima baucar buku bernilai RM150 setiap seorang.

"Penerima yang layak mestilah menepati kriteria yang ditetapkan di mana pemohon mestilah warganegara Malaysia kelahiran Perak yang sedang melanjutkan pengajian sepenuh masa dalam tahun pertama, mempunyai pendapatan isi rumah di bawah RM3,000 dan memerlukan keperluan yang mendesak," katanya.

Justeru itu, beliau meminta kepada semua mahasiswa atau ibu bapa yang memenuhi kriteria yang ditetapkan untuk mengambil peluang tersebut dengan membuat permohonan melalui laman sesawang rasmi EHEYN di https://eheyns.com.my, bermula hari ini.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!