[VIDEO] PH Kluang sudah mula bergerak di DUN Mahkota

A
A
A

KLUANG - Pakatan Harapan (PH) Kluang sudah menggerakkan akar umbi parti itu bagi berdepan Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota.

Ahli Parlimen Kluang, Wong Shu Qi berkata, arahan telah diterima daripada pucuk pimpinan PH untuk memulakan gerak kerja PRK DUN Mahkota bagi memastikan kemenangan calon Kerajaan Perpaduan daripada UMNO.

"Saya telah terima arahan daripada setiausaha parti saya (Anthony Loke Siew Fook) dan pucuk pimpinan PH untuk gerak kerja PRK DUN Mahkota.

"Bagaimanapun, di peringkat akar umbi sudah pun bermula gerak kerja. Saya akan kongsikan nanti cara kami berkempen, mobilisasi dan sebagainya," katanya ketika ditemui Kampung Sembrong Dalam pada Rabu.

Shu Qi (dua dari kiri) melawat Aminah (dua dari kanan) di Kampung Sembrong Dalam, Kluang pada Rabu.
Shu Qi (dua dari kiri) melawat Aminah (dua dari kanan) di Kampung Sembrong Dalam, Kluang pada Rabu.

Shu Qi yang juga koordinator PH Kluang bagi PRK DUN Mahkota berkata isu perkauman secara hakikatnya tidak berlaku di Parlimen Kluang walaupun di DUN Mahkota peratusan kaum Melayu lebih tinggi daripada kaum Cina dan India.

"Oleh itu, soal 34 peratus pengundi Cina daripada kira-kira 66,000 pengundi dalam DUN Mahkota bukanlah satu persoalan besar.

"Bagi menggerakkan kempen, tidak akan ada perbezaan kaum Melayu, Cina dan India kerana ia akan dilakukan sama rata tanpa mengira kawasan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, Shu Qi menghulurkan bantuan kecemasan kepada Aminah Jimin, 68, selepas sebahagian rumahnya serta sebuah van musnah dalam kebakaran kira-kira jam 11.30 malam Selasa.

Menurut Shu Qi lagi, bantuan segera perlu diberikan kepada keluarga Aminah yang menjual sate di bandar Kluang bagi membolehkan mereka memulakan semula perniagaan yang menjadi mata pencarian.

Sementara itu, Daftar Pemilih Pilihan Raya bagi PRK DUN Mahkota adalah sebanyak 66,318 orang dengan 61,397 daripadanya adalah pengundi biasa, 401 anggota polis, 4,510 anggota tentera dan pasangan serta 10 orang pengundi tidak hadir luar negara.

Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor pada Mac 2022, Allahyarhamah Sharifah Azizah Syed Zain, yang juga calon mewakili BN memenangi kerusi DUN Mahkota dengan majoriti 5,166 undi.

Daripada sejumlah 66,318 pengundi di DUN Mahkota, 52 peratus daripadanya adalah pengundi muda yang berusia 39 dan ke bawah.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dilaporkan menetapkan hari pengundian bagi PRK DUN Mahkota pada 28 September ini manakala tarikh penamaan calon dan pengundian awal pula masing-masing ditetapkan pada 14 dan 24 September ini.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!