[VIDEO] Masalah komponen mekanikal, kekurangan pekerja mahir belenggu MAB

A
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Masalah komponen mekanikal merupakan antara isu signifikan yang menyumbang kepada beberapa insiden teknikal membabitkan pesawat Malaysia Airlines Berhad (MAB) seperti dilaporkan sejak akhir- akhir ini.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, syarikat yang bertanggungjawab menyelenggara pesawat MAB, MAB Engineering Services (MABES) juga didapati kekurangan pekerja mahir.

"Ini adalah dapatan berdasarkan siasatan mengejut yang dijalankan Piihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) ke atas MAB dan MABES pada 24 hingga 28 Jun lalu," katanya menerusi sidang akhbar pasca Kabinet di sini pada Rabu.

Menurutnya, CAAM mendapati seramai 63 daripada 411 pekerja MABES yang boleh memperakukan perihal selamat pesawat penerbangan telah berhenti dan berhijrah ke tempat lain.

Anthony Loke Siew Fook. -Foto Bernama
Anthony Loke Siew Fook. -Foto Bernama

"Ia berkemungkinan disebabkan tawaran gaji lumayan yang disediakan oleh syarikat penyelenggara lain terutamanya syarikat Timur Tengah," jelas beliau.

Ujar Anthony, MAB telah diarahkan untuk mengemukakan laporan bulanan terhadap status pelaksanaan pelan mitigasi MAB.

"Berdasarkan audit terkini CAAM ke atas syarikat MAB, tempoh pembaharuan Sijil Perakuan Pengendali Udara (AOC) akan dikurangkan daripada tiga tahun kepada satu tahun sahaja," katanya.

Artikel Berkaitan:

Tambah beliau, mana-mana syarikat penerbangan harus melalui audit sebelum AOC diperbaharui.

"Tempoh AOC yang lebih pendek akan mewajibkan audit yang lebih kerap.

"Hal ini bagi memastikan MAB mengambil tindakan-tindakan penambahbaikan sewajarnya sebagai mana pelan mitigasi yang telah dikemukakan oleh CAAM," kata Anthony.

Dalam pada itu, beliau menegaskan keperluan semua pemain industri penerbangan awam untuk mematuhi aspek-aspek keselamatan dan perihal selamat yang telah ditetapkan.

"Kita tidak akan berkompromi dalam perkara yang melibatkan keselamatan penumpang.

“Kita hendak beri satu keyakinan bahawa kementerian telah mengarahkan MAB untuk memastikan keselamatan pesawat itu berada dalam keadaan paling baik.

“Apa yang perlu dilaksanakan, mesti lah dilaksanakan demi keselamatan penumpang kerana keselamatan sentiasa menjadi keutamaan.

"Kita tak boleh ambil kira dari segi kos dan kerugian dialami, itu diketepikan. Keselamatan pesawat, penumpang serta krew penerbangan sangat penting,” katanya.

Minggu lalu, bekas Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Wee Ka Siong menggesa kerajaan menyiasat isu teknikal membelenggu MAB, sehingga ada insiden memaksa pesawatnya melakukan pendaratan cemas.

Katanya, terdapat sekurang-kurangnya lapan insiden dilapor sejak 2023, yang mana membangkitkan kehilangan kepercayaan serius dalam kalangan penumpang penerbangan.

Ringkasan berita:

  • Masalah Mekanikal dan Pekerja: MAB menghadapi masalah komponen mekanikal dan kekurangan pekerja mahir, menyebabkan beberapa insiden teknikal.
  • Kekurangan Pekerja: 63 daripada 411 pekerja mahir MAB Engineering Services (MABES) telah berhenti, kebanyakan berpindah ke syarikat lain dengan gaji lebih tinggi.
  • Tindakan CAAM: CAAM telah mengurangkan tempoh pembaharuan Sijil Perakuan Pengendali Udara (AOC) MAB dari tiga tahun kepada satu tahun.
  • Audit Lebih Kerap: Tempoh AOC yang lebih pendek memerlukan audit yang lebih kerap untuk memastikan keselamatan pesawat.
  • Pentingnya Keselamatan: Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, menekankan bahawa keselamatan penumpang adalah keutamaan, dan semua langkah keselamatan mesti dipatuhi.
  • Gesaan Siasatan: Datuk Seri Wee Ka Siong, menggesa siasatan terhadap insiden teknikal MAB yang menyebabkan pendaratan cemas, mencetuskan kebimbangan penumpang.
Dijana oleh AI

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!