Tiada penularan mpox di Pulau Pinang - Exco

Kerajaan Pulau Pinang menafikan berlaku penularan penyakit mpox di negeri ini seperti yang ditularkan dalam media sosial baru-baru ini. (Gambar kecil: Daniel Gooi)
Kerajaan Pulau Pinang menafikan berlaku penularan penyakit mpox di negeri ini seperti yang ditularkan dalam media sosial baru-baru ini. (Gambar kecil: Daniel Gooi)
A
A
A

GEORGE TOWN - Kerajaan Pulau Pinang menafikan berlaku penularan penyakit cacar monyet (mpox) di negeri ini seperti yang ditularkan dalam media sosial baru-baru ini.

Exco Belia, Sukan dan Kesihatan, Daniel Gooi Zi Sen berkata, perkara itu telah disahkan oleh Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Pulau Pinang yang mengatakan mesej yang ditularkan itu tidak benar.

"Saya telah menerima laporan bahawa terdapat satu mesej yang tular di media sosial berhubung penularan gejala mpox di negeri ini.

"Susulan daripada itu, saya telah mendapatkan pengesahan daripada JKN Pulau Pinang dan JKN Pulau Pinang telah mengesahkan bahawa perkara tersebut adalah tidak benar," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Sebelum ini tular satu mesej di media sosial berhubung penularan mpox di negeri ini dengan beberapa simptom yang telah dikenalpasti.

Selain itu, mesej itu turut mendakwa kononnya Pulau Pinang telah mencatatkan kes mpox yang disusuli simptom iaitu demam dan gatal pada kulit.

Mengulas lanjut, Daniel memohon orang awam supaya tidak menyebarkan maklumat tidak sahih yang boleh menyebabkan ketakutan dalam kalangan masyarakat.

"Saya memohon orang awam supaya tidak menyebarkan maklumat yang tidak sahih bagi mengelakan berlakunya kekhuatiran dan ketakutan awam.

Artikel Berkaitan:

"Semua maklumat sahih berhubung dengan situasi mpox boleh diperolehi melalui laman rasmi JKN Pulau Pinang dan Kementerian Kesihatan (KKM)," ujarnya.

Tambah beliau lagi, KKM telah mengambil tindakan aktif dalam mengemaskini situasi terkini berhubung gejala mpox.

"Bilik Gerakan MPox telah diwujudkan sejak 16 Ogos lalu seperti yang diumumkan oleh Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad.

"Kesiapsiagaan KKM dalam menangani gejala mpox telah ditingkatkan selepas deklarasi kecemasan yang dibuat oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) berhubung perkara ini.

"Oleh itu, saya mohon orang awam kekal tenang dan mengikuti pengumuman serta kenyataan rasmi yang sahih oleh KKM dan JKN Pulau Pinang berhubung situasi ini," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!