'Saya tukar nama FB, IG sebab takut Ebit Lew ganggu lagi' - Saksi
TENOM - Pengadu dalam kes Ebit Lew memberitahu mahkamah bahawa dia terpaksa menukar nama dalam akaun media sosialnya di Facebook dan Instagram kerana takut diganggu oleh pendakwah tersebut.
Wanita tersebut yang juga saksi pendakwaan kesembilan memberi keterangan ketika menjawab pemeriksaan balas daripada peguam bela, Datuk Ram Singh yang mewakili Ebit Lew dalam perbicaraan itu.
Dalam pemeriksaan balas tersebut, Ram bertanya kenapa pengadu membuat laporan polis pada 7 Ogos 2021 walaupun selepas menerima permohonan maaf daripada pendakwah tersebut.
Pengadu menjelaskan bahawa laporan polis itu dibuat kerana Ebit Lew masih melakukan perkara sama terhadapnya.
"Selepas Ebit Lew minta maaf pada bulan April, tetapi bila Ebit tidak berhenti pada Mei, Jun, dan terakhir awal Julai, dia seolah-olah tidak menghormati permintaan saya dan tetapi juga tulis ayat lucah, 'call'.
"Lepas itu saya sampai tukar nama FB (Facebook) dan IG (Instagram) dari nama asal saya kepada nama lain sebab takut dia ganggu lagi dan saya tidak mahu lagi ikut arahan dan seperti sebelum ini sebab itu saya ambil keputusan untuk membuat laporan," jelasnya di Mahkamah Tenom pada Rabu.
Ditanya lanjut dalam pemeriksaan balas tersebut, kenapa pengadu mengambil masa selama empat bulan untuk membuat laporan polis dan ke balai yang jauh di Bukit Aman.
"Dalam masa empat bulan itu, saya cuba ambil peranan untuk minta Ebit jangan buat lagi macam itu dan saya pernah bertanya dia adakah dia pernah buat dengan orang lain.
"Sebab bila saya bincang dengan suami, suami kata dia mungkin biasa buat benda itu dan dia berani, masa empat bulan itu Ebit tetap tidak berubah sebab itu saya ambil keputusan awal Julai saya 'block' dia.
"Saya cari jalan bagaimana untuk selesaikan masalah ini, demi keadilan kepada diri saya. Kiranya empat bulan itu peluang untuk Ebit tetapi dia tidak berubah," jelasnya.
Sebelum itu, Ebit Lew atau nama sebenarnya Ebit Irawan Ibrahim, 38, berhadapan dengan 11 pertuduhan membuat hantaran gambar dan perkataan lucah bermaksud mengaibkan kehormatan mangsa melalui aplikasi WhatsApp antara Mac hingga Jun 2021 mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan.
Perbicaraan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nor Azizah Mohamad, Zahida Zakaria dan Analia Kamaruddin.
Ebit Lew diwakili oleh Ram, Kamarudin Mohmad Chinki, Timothy Daut, Mohd Syarulnizam Salleh Keruak dan Prem Elmer Ganasan manakala Majistret ialah Nur Asyraf Zolhani.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!