Mayat bayi dijumpai ditanam dalam simen parkir rumah sewa
IPOH - [DIKEMAS KINI] Satu mayat bayi ditemui tertanam dalam simen di ruang tempat letak kenderaan sebuah rumah di Taman Sri Rokam di sini pada Rabu.
Mayat bayi perempuan dianggarkan berusia tujuh bulan itu ditemukan seorang lelaki berusia 37 tahun ketika sedang melakukan kerja baik pulih rumah yang hendak disewa sekitar jam 11 pagi.
Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata, semasa kejadian lelaki warga Indonesia itu telah mengorek tanah bertujuan menyimen semula lantai tempat ketak kereta.
"Semasa melakukan kerja mengorek tanah, lelaki itu terjumpa cebisan kain sarung dan apabila ditarik, terdapat mayat kecil seperti bayi di sebalik kain tersebut.
"Satu laporan polis telah dibuat bagi tujuan siasatan lanjut," katanya dalam kenyataan di sini pada Rabu.
Beliau berkata, mayat bayi berkenaan telah dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh bagi tujuan bedah siasat.
Katanya, laporan dikeluarkan tidak menemui sebarang kecederaan pada tubuh bayi tersebut dan mayat dipercayai berusia tujuh bulan ketika keluar dari kandungan.
"Tiada rakaman kamera litar tertutup (CCTV) ditemui di kawasan kejadian.
"Setakat ini tiada tangkapan dan siasatan lanjut akan dijalankan di bawah Seksyen 318 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran dan menyebabkan kematian," katanya.
Abang Zainal Abidin berkata, siasatan awal mendapati, rumah teres satu tingkat terbabit sebelum ini telah disewa seorang wanita warga Indonesia dengan bayaran RM400 sebulan.
Bagaimanapun katanya, wanita itu yang mendiami rumah berkenaan sejak tiga tahun lepas telah melarikan diri kira-kira sebulan lalu.
"Pemilik kediaman tinggal selang sebuah rumah dari rumah tersebut memaklumkan membuat kutipan sewa bulanan ke rumah kerana penyewa membayar secara tunai.
"Semasa kutipan, dia nampak bahawa wanita itu mengandung," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!