Pengusaha restoran jangan kedekut keluar modal naik taraf tandas

Laporan Sinar Harian pada Rabu mengenai keadaan tandas di restoran 24 jam.
Laporan Sinar Harian pada Rabu mengenai keadaan tandas di restoran 24 jam.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pengusaha restoran dinasihat tidak lokek untuk mengeluarkan peruntukan untuk menaik taraf kemudahan tandas di premis masing masing-masing.

Pengerusi Persatuan Bilik Air Berkualiti Malaysia (QRAM), Hasan Hamzah berkata, peniaga mengaut keuntungan yang besar dan tidak salah mengeluarkan kos tersebut bagi memberikan keselesaan pelanggan yang menyokong perniagaan mereka.

Menurutnya, menjadi keperluan untuk setiap premis memastikan kemudahan tandas disediakan beserta keperluan asas serba lengkap serta mesra pengguna.

Hasan
Hasan

"Mereka telah kaut keuntungan yang banyak, tidak salah keluarkan modal untuk sediakan keperluan asas sepertu cecair pencuci tangan, penyangkut serta tisu tandas.

"Kita tak perlu tandas ikut piawaian Eropah, kita sudah ada piawaian sendiri namun tidak banyak premis ikuti iaitu kelengkapan cukup, mesra pengguna dan tandas diselenggara dengan baik," katanya mengulas kualiti tandas awam di ibu kota diberikan penilaian sederhana dalam kalangan pelancong asing.

Tinjauan kemudahan tandas awam di beberapa restoran 24 jam sekitar ibu kota juga mendapati keadaannya dalam keadaan daif dan ada antaranya lantai berdaki seolah sudah lama tidak dinaik taraf.

Hasan bagaimanapun berpandangan, kemudahan itu sudah semakin baik namun kualitinya masih boleh ditingkatkan lagi.

Artikel Berkaitan:

Ujarnya, kebanyakan restoran baharu dilengkapi kemudahan serba lengkap beserta kemudahan hos paip beserta kemasan jubin menarik.

"Jika lihat kemudahan itu terutama di restoran baharu keadaan sudah serba lengkap cuma yang nampak teruk mungkin di restoran-restoran lama yang tidak menaik taraf kemudahan sedia ada.

"Pemantauan berterusan perlu dilakukan oleh pihak berkuasa dan pengusaha sendiri perlu ada kesedaran untuk menjaga kebersihan tandas masing-masing, " katanya.

Tambah beliau, setiap premis perlu menyediakan sekurang-kurangnya dua tandas untuk pengasingan kegunaan lelaki dan wanita selain menempatkan seorang pekerja memantau tahap kebersihan tandas.

"Masyarakat kita belum ada mentaliti prihatin terhadap pengguna seterusnya, kalau ada etika tersebut, saya yakin kebersihan tandas ini dapat dijaga bersama.

"Kempen kesedaran perlu berterusan dan dimulakan dari peringkat sekolah supaya ia boleh menjadi budaya seperti di Jepun, didikan diberikan sejak kecil," katanya.

Pada masa sama, beliau berpandangan, pihak berkuasa tempatan (PBT) juga boleh memainkan peranan dari segi penyediaan ganjaran sebagai suntikan semangat kepada pengusahan restoran.

"Sebagai contoh tandas yang mencapai penarafan lima bintang diberikan hadiah seperti pengecualian cukai taksiran untuk tempoh-tempoh tertentu.

"Selain itu, sijil penghargaan untuk kualiti tandas terbaik juga dilihat mampu menjadi nilai tambah terhadap keyakinan pelanggan di restoran tersebut," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!