Tumpu penciptaan peluang dan pembangunan komuniti

Amirul Feisal (kiri) mendengar penerangan daripada salah seorang wakil pempamer yang menyertai Program #BerbudiBersama di Medini Mall, Iskandar Puteri pada Sabtu.
Amirul Feisal (kiri) mendengar penerangan daripada salah seorang wakil pempamer yang menyertai Program #BerbudiBersama di Medini Mall, Iskandar Puteri pada Sabtu.
A
A
A

ISKANDAR PUTERI – Khazanah Nasional Berhad (Khazanah) telah menganjurkan siri ketiga program #BerbudiBersama di Medini Mall, di sini pada Sabtu lalu yang menumpukan kepada usaha penciptaan peluang dan pembangunan komuniti dalam kalangan masyarakat setempat.

Program tersebut dianjurkan bersama Iskandar Investment Berhad dan disertai rakan- rakan yang lain seperti Yayasan Hasanah, Telekom Malaysia, Tenaga Nasional Berhad, UEM Sunrise, PLUS, Think City, Destination Resorts and Hotels, IHH Healthcare, Cenviro, dan Farm Fresh.

Ia bertujuan memberikan fokus terhadap kesedaran kesihatan, alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) yang berkesan.

Seiring dengan perjalanan 30 tahun Khazanah dalam memajukan negara, tema #BerbudiBersama melambangkan tekad untuk memperkukuhkan komitmen dana kekayaan berdaulat negara ini terhadap pembangunan negara.

Khazanah berusaha menggalakkan kerjasama dalam menyampaikan nilai kemasyarakatan, seiring dengan aspirasi Malaysia Madani.

Pengunjung pada acara di Johor juga berpeluang menikmati pelbagai aktiviti yang disediakan oleh lebih 100 gerai dan pempamer yang mengambil bahagian.

Mereka juga dapat meningkatkan pengetahuan dalam literasi kewangan melalui aktiviti khusus yang dijalankan dan menyelami usaha-usaha penciptaan peluang baharu melalui pelbagai program pemberdayaan masyarakat yang dipaparkan.

Program #BerbudiBersama di Johor ini turut membuka peluang kepada pelbagai pengusaha kecil, termasuk antara lain, Gerai Rakyat dari usahawan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) tempatan yang menawarkan makanan terkenal Johor, minuman, barangan tempatan dan pelbagai aktiviti menyeronokkan.

Artikel Berkaitan:

Pelbagai ceramah pendidikan mengenai kesedaran kesihatan mental, belia, dan usaha tanggungjawab sosial korporat (CSR) turut diadakan termasuk persembahan tarian tradisiona.

Semangat kerjasama

Menurut Pengarah Urusan Khazanah, Datuk Amirul Feisal Wan Zahir, fokus utama ketika ini adalah untuk terus meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan untuk memajukan negara secara bersama.

“Kami berikan balik kepada komuniti dan semua ini adalah peluang di mana kami mendapat sokongan hasil penglibatan dengan komuniti.

Pembangunan daripada seni warisan tradisional juga turut menjadi fokus dalam program #BerbudiBersama ini.
Pembangunan daripada seni warisan tradisional juga turut menjadi fokus dalam program #BerbudiBersama ini.

“Dalam masa sama Khazanah juga mewujudkan kesedaran mengenai kepentingan untuk bersama-sama membangunkan dan seterusnya memajukan negara,” katanya ketika ditemui pada program berkenaan pada Sabtu.

Malah katanya, Khazanah akan sentiasa komited untuk ‘memberi balik’ kepada komuniti dan program #BerbudiBersama mencerminkan semangat kerjasama yang terjalin dengan syarikat-syarikat di bawah naungannya, bersama pemegang kepentingan yang lain dalam usaha membangunkan negara.

Jelas Amirul Feisal lagi, Khazanah komited untuk terus menyumbang kepada kemakmuran ekonomi dan memperkukuhkan nilai sosioekonomi untuk semua rakyat Malaysia.

Jelas beliau, kemajuan yang dicapai sepanjang tahun-tahun lalu bukanlah hanya untuk mereka sahaja raikan, kerana ia adalah hasil daripada usaha kolektif ‘Seluruh Malaysia’ oleh semua pihak berkepentingan termasuk komuniti.

“Sempena ulang tahun ke-30 kami tahun ini, kami berterima kasih kepada pihak berkepentingan. Kami mengakui semangat, sokongan, dan visi bersama mereka dalam memastikan kemajuan mampan untuk Malaysia,” tambahnya.

1,100 graduan terima manfaat

Sementara itu, Pengarah Urusan Yayasan Hasanah, Siti Kamariah Ahmad Subki berkata, pihaknya akan cuba sedaya upaya memberikan latihan kepada lebih 1,100 graduan.

Katanya, latihan tersebut amat bermanfaat kepada semua graduan yang akan dicadangkan untuk bekerja dalam tiga bidang yang melibatkan teknologi digital, jentera dan hospitaliti.

Dalam pada itu, Ketua (Pendidikan) Iskandar Investment Berhad (IIB), Azizah Khalid Merican berkata, pihak IIB bersama Khazanah akan turut menyalurkan RM300,000 untuk program Dana Ilmu kepada pelajar dari golongan B40 yang melanjutkan pengajian ke universiti dan mengikuti pengajian dalam bidang yang diperlukan industri buat masa ini.

Katanya, antara inisiatif itu adalah dalam pembangunan bakat ilmuan muda melalui penubuhan Dana Ilmu berkenaan.

“Kita sumbangkan jumlah keseluruhan RM300,000 kepada pelajar yang akan belajar di universiti, pelajar B40 belajar dalam bidang-bidang yang diperlukan oleh industri buat masa ini.

“Satu lagi program yang bakal dilaksanakan pihak Khazanah ialah memberikan latihan kepada lebih 1,100 graduan yang akan bekerja dalam bidang teknologi digital, kejuruteraan dan juga hospitaliti.

“Mereka ini diberikan latihan On Job Training (OJT) selama empat bulan dan akan dicadangkan kepada pasaran industri-industri di seluruh negara,” katanya.

Peluang

Bagi peniaga, Nurul Natasha Amira Hamad Zi, 22, perniagannya selama ini memang banyak menggunakan platform media sosial dan penganjuran program #Berbudi Bersama ini membuka peluang untuknya menjalankan perniagaan secara berdepan dengan pelanggan.

“Bagi saya, program ini sedikit sebanyak membantu mempromosikan perniagaan saya kerana biasanya saya lebih fokus kepada online (dalam talian),” katanya.

Menurut seorang pengunjung, Melissa Ng, 38, dia mengetahui mengenai program ini melalui media sosial dan menyertainya untuk mempamerkan bakat solekan yang dimilikinya.

“Kebanyakan pelanggan saya tahu mengenai perkhidmatan saya ini melalui media sosial, terutamanya Instagram dan saya menawarkan khidmat solekan, face painting, brush tattoo,termasuk tattoo pada botol serta rumput,” katanya.

Bagi Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), UEM Sunrise, Sufian Abdullah, penganjuran program #BerbudiBersama kali ini memberikan peluang kepada syarikat itu mempromosikan rumah mampu milik mereka yang dibina berasaskan binaan berskala tinggi.

“Inisiatif ini juga membuka peluang terhadap rekaan pembangunan lestari dalam pembentukan masa depan hartanah, selaras dengan visi pembangunan strategik syarikat yang bertemakan "Form to FUTURE".

“Selain mewujudkan komuniti yang mampan, pembangunan kami mengutamakan impak maksimum terhadap kesejahteraan alam sekitar dan kemajuan ekonomi,” katanya.

Program #BerbudiBersama akan meneruskan jelajahnya ke Sarawak selepas ini, sebelum melabuhkan tirai untuk tahun ini.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!