Dua penerjun Terengganu ikuti latihan harian di sekolah sukan - Hannah

HANNAH
HANNAH
A
A
A

KEMENTERIAN Belia dan Sukan (KBS) menegaskan dua penerjun wanita Terengganu pemenang pingat pada Sukan Malaysia (Sukma) Sarawak 2024 baru-baru ini akan meneruskan latihan harian di Sekolah Sukan Malaysia seliaan Kerajaan Persekutuan.

Malah menurut Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh, percaya bakat kedua-dua atlet tersebut dapat dikembangkan sebelum terpilih memasuki program di peringkat kebangsaan pada masa depan.

“Pengarah Teknikal skuad terjun negara, Bryan Nickson, mengenal pasti penerjun ini untuk dipertimbangkan memasuki program pelapis negara tahun depan, sekiranya mereka terus menunjukkan peningkatan prestasi dalam kejuaraan-kejuaraan pada masa depan.

“KBS juga berharap kerajaan Terengganu tidak mendiskriminasikan pemberian insentif kemenangan kepada kedua-dua penerjun ini memandangkan mereka juga telah menyumbang pingat kepada Kontinjen Terengganu.

“Setiap peserta yang mewakili negeri di Sukma perlu melalui proses pendaftaran yang dipersetujui Majlis Sukan Negeri masing-masing,” katanya pada Rabu.

Dua penerjun wanita Terengganu, Ilyssa Ixora Imran dan Uzlifatil Jannah Ashraf sebelum ini meraih dua pingat gangsa dalam acara 10 meter (m) platform seirama pada Sukma 2024.

Pada masa sama Hannah turut menitipkan kebimbangan mengenai arahan kerajaan Terengganu yang menghalang pembabitan atlet wanita dalam bidang tertentu.

“Tindakan ini dikhuatiri akan merencatkan potensi ramai atlet muda yang terbukti mempunyai bakat, serta memberikan impak negatif kepada pembangunan sukan negara secara keseluruhannya,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!