'Lawan di gelanggang Dewan Rakyat'- MP Sungai Petani cabar Sanusi

Laporan Sinar Harian pada Isnin.
Laporan Sinar Harian pada Isnin.
A
A
A

ALOR SETAR - Ahli Parlimen Sungai Petani, Dr Taufiq Johari mencabar Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor untuk ‘berlawan’ di gelanggang Dewan Rakyat.

Ia susulan tindakan Sanusi mencabar Menteri Pendidikan dan Pengarah Pendidikan Kedah untuk ‘berlawan’ di gelanggang Dewan Undangan Negeri (DUN) berkaitan isu politik kepartian dalam sistem pendidikan.

Dr Taufiq menegaskan, tindakan ADUN Jeneri itu amat tidak profesional dan berbaur fitnah.

“Jika Sanusi benar-benar anak jantan, jangan cabar Menteri Pendidikan dalam sidang DUN, minta sahaja mana-mana ahli Parlimen Pas letak jawatan dan beri laluan kepada beliau untuk masuk ke gelanggang Dewan Rakyat,” katanya pada Rabu.

Pada Isnin, dalam persidangan DUN Kedah, Sanusi melahirkan rasa kecewa terhadap Kementerian Pendidikan, Menteri Pendidikan dan Pengarah Pendidikan Kedah yang didakwa melaksanakan agenda politik kepartian.

Menurutnya, kepimpinan negeri dihalang daripada memasuki kawasan sekolah mahupun menjalin kerjasama dalam program berkaitan pendidikan, sedangkan berlaku sebaliknya membabitkan pemimpin Kerajaan Perpaduan.

Sebelum itu, Exco Pendidikan Kedah, Datuk Mohd Azam Abd Samat mendedahkan, Program Komitmen Kedah Mendidik Pelajar Sukses (KOMPas) dianjurkan kerajaan negeri tidak mendapat kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) dengan tidak membenarkan guru dan pengetua menyertainya.

Taufiq yang juga Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Kedah turut menyifatkan kenyataan Sanusi sebagai tidak bertanggungjawab.

Artikel Berkaitan:

“Beliau membangkitkan ketidakpuasan hati seolah-olah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menyuntik agenda politik kepartian dalam sistem pendidikan.

“Sanusi juga sewenang-wenangnya memfitnah Pengarah Pendidikan Kedah kononnya berkempen politik kepartian dalam sekolah tanpa memberi ruang penjawat awam tersebut membela diri,” ujarnya.

Menurutnya, tuduhan terhadap Menteri Pendidikan dan Pengarah Pendidikan Kedah itu merupakan tindakan bacul dan tidak bertanggungjawab memandangkan pihak yang dituduh tidak berada dalam DUN untuk menjawab tohmahan tersebut.

“Sanusi cabar Pengarah Pendidikan Kedah untuk ‘lawan’ di gelanggang DUN sedangkan beliau hanya mematuhi pekeliling kementerian berkaitan jemputan kenamaan di sekolah-sekolah kerajaan,” jelasnya.

Taufiq berharap beberapa perkara berkaitan harus diteliti semua pihak termasuk Sanusi yang mungkin terlajak kata akibat hasutan segelintir pihak.

“Malaysia Madani adalah dasar Kerajaan Persekutuan dan kerajaan berhak mempromosi dasar tersebut melalui apa jua platform memandangkan dasar tersebut bukan dasar parti.

“Jika Sanusi mahu rakyat terbuka kepada dasar beliau di negeri, seharusnya Sanusi juga menerima dasar Malaysia Madani sebagai dasar Kerajaan Persekutuan.

“Seperti mana pihak lain bersikap terbuka menghormati dasar ‘The Greater Kedah’ dibawa Sanusi selaku Menteri Besar Kedah,” katanya.

Menurutnya, AMK Kedah juga menghormati dasar ‘The Greater Kedah’ demi kemajuan negeri ini dan sikap keterbukaan boleh diterjemahkan dalam pelbagai kerjasama.

“Diharap semua pihak menghormati dan menerima dasar rasmi Kerajaan Persekutuan termasuk dasar negeri bagi memastikan pembangunan dan kebajikan rakyat diutamakan.

“Kepada Sanusi, menjadi harapan kami agar beliau hormati dasar Kerajaan Persekutuan dan kakitangan Kerajaan Persekutuan yang berkhidmat di negeri ini untuk laksanakan dasar Persekutuan,” jelasnya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!