IKIM siar secara langsung Malaysia #QuranHour di web tv
KUALA LUMPUR – Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) akan menyiarkan secara langsung Malaysia #QuranHour pada 30 Ogos ini menerusi siaran tvIKIM bermula jam 10 pagi.
Pengarah Pusat Media Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), Ahmad Fuad Mat Ali berkata, siaran langsung berkenaan juga akan disiarkan di platform media sosial IKIM termasuk web tv iaitu www.tvikim.my dan Facebook tvIKIM.
Menurutnya, kerjasama yang terjalin antara Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF) diteruskan menerusi penganjuran Malaysia #QuranHour kali ini yang bertempat di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin.
“Usaha untuk mengetengahkan Surah Al-Jumuah dan Surah Al-Hujurat adalah bertepatan dengan keadaan semasa negara dalam memperkukuhkan perpaduan rakyat.
“Bagi kami di IKIM, tema ‘Jiwa Merdeka: Memaknai Rukun Negara’ dapat memperlihatkan bagaimana kebersamaan boleh dipupuk dengan baik tanpa mengira agama dan kaum, malah amalan itu turut dinyatakan dalam al-Quran,” katanya dalam temubual khas bersama Sinar Harian pada Rabu.
Mengulas lanjut, IKIM menerusi platform televisyen dan radionya kini giat mencari pendekatan baharu untuk menarik golongan muda mengikuti platform media sosialnya.
“IKIM kini menyajikan rancangan dan program yang mempunyai nilai dan bersifat ilmiah bagi menggantikan hiburan tanpa batasan yang banyak dipaparkan menerusi internet,” katanya.
“Kita tidak menyiarkan rancangan dan isu yang terlalu santai sebaliknya, banyak membincangkan isu semasa yang lebih bermanfaat untuk mengubah minda masyarakat menjadi lebih baik,” katanya.
Sementara itu IKIMfm yang mempunyai 1.2 juta pendengar ketika ini dibarisi oleh deejay berpengalaman antaranya DJ Tyzo Xander, DJ Yati, DJ Pyan, DJ Syafiq, DJ Siti, DJ Batrisyia dan DJ Mona.
“Platform radio merupakan medium utama dalam memberi penerangan pencerahan sesuatu isu dengan lebih pantas kerana ianya ke udara setiap hari,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!