TPM, Menteri Wilayah tinjau lokasi kejadian tanah jerlus
KUALA LUMPUR - Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof meninjau keadaan sekitar lokasi tragedi tanah jerlus dekat Jalan Masjid India di sini pada Rabu.
Fadillah tiba kira-kira jam 4.35 petang sebelum dibawa ke khemah pasukan penyelamat bagi mendengar taklimat operasi mencari dan menyelamat (SAR) yang dijalankan.
Turut kelihatan hadir adalah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa.
Fadillah serta Zaleha dijangka turut melawat lokasi kejadian tanah mendap selain diberikan penerangan berkaitan kejadian itu.
Terdahulu, kejadian tanah mendap dilaporkan berlaku kira-kira 50 meter dari lokasi insiden tanah jerlus di Jalan Masjid India di sini.
Kejadian tanah mendap itu dipercayai berlaku sekitar jam 2.30 pagi tadi selepas hujan lebat dan ribut pada Selasa malam.
Kejadian tanah jerlus pada Jumaat lepas menyebabkan seorang wanita dikenali sebagai Vijayaletchumy, 48, dari Kuppam, Andhra, India hilang selepas terjatuh ke lubang sedalam lapan meter di situ dengan operasi mencari dan menyelamat memasuki hari keenam hari ini.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!