[VIDEO] Kemuncak Sayembara deklamasi puisi artistik bulan depan

A
A
A

SHAH ALAM - Persatuan Pemuisi Nasional Malaysia (Pemuisi) bakal mengadakan Sayembara Deklamasi Puisi Artistik Hari Malaysia (SDPAHM) peringkat akhir di Kompleks Kumpulan Karangkraf pada 14 dan 15 September depan.

Presiden Pemuisi, Datuk Dr Radzuan Ibrahim @Wanrazuhar berkata, ia merupakan penganjuran kali ke-5 yang dilakukan badan bukan kerajaan (NGO) tersebut dalam usaha mengangkat dan memartabatkan puisi serta pemuisi di persada sastera negara, bahkan peringkat antarabangsa.

Menurut beliau, setakat 25 Ogos lalu, kesemua 14 negeri termasuk Wilayah Persekutuan telah menganjurkan pertandingan dan memilih seorang deklamator untuk berentap di peringkat akhir nanti.

Dr Radzuan (tiga dari kanan) ketika sidang media Sayembara Deklamasi Puisi Artistik Hari Malaysia (SDPAHM) peringkat akhir di Kompleks Kumpulan Karangkraf, di Shah Alam pada Khamis.
Dr Radzuan (tiga dari kanan) ketika sidang media Sayembara Deklamasi Puisi Artistik Hari Malaysia (SDPAHM) peringkat akhir di Kompleks Kumpulan Karangkraf, di Shah Alam pada Khamis.

"Terdapat 15 deklamator mewakili negeri dan Wilayah Persekutuan yang akan bertanding. Untuk pengetahuan semua, Sayembara Puisi Artistik ini berbeza dengan pertandingan lain.

"Artistik merujuk kepada unsur kreatif seni bertujuan memantapkan persembahan supaya pentas menjadi lebih hidup, berseni dan berkesan.

"Ia merupakan reformasi dalam deklamasi puisi. Elemen teaterikal dan muzikal, penggunaan prop, orang hidup, lagu, alatan muzik serta gambar turut dimasukkan," katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.

Hadir sama, Penasihat Program SDPAHM, Kapten Datuk Profesor Emiritus Dr Hashim Yaacob; Pengasas Kumpulan Karangkraf, Datuk Hussamuddin Yaacub; Pengarah SDPAHM ke-5, Dr Shafa'atussara Silahuddin; Pengarah Pentas atau Persembahan, Siso Kopratasa serta Penyelaras, Dr V Sundarappandian.

Artikel Berkaitan:

Program terbabit mendapat kerjasama penuh daripada Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) serta Karangkraf selaku penaja lokasi pertandingan.

Pemuisi mula ditubuhkan enam tahun lalu dengan menekankan visi Suara Kemanusiaan Sejagat dan antara aktiviti yang dianjurkan adalah program baca puisi, bengkel, forum, penerbitan majalah bulanan, buku serta lain-lain.

Radzuan turut memaklumkan, cara persembahan adalah bebas mengikut kreativiti masing-masing tetapi ia perlu bersesuaian dengan puisi yang dipersembahkan kepada penonton.

"Panel juri juga bukan calang-calang, mereka terdiri daripada tokoh dalam bidang sastera, puisi, seni dan budaya tanah air.

"Justeru, saya berharap orang ramai akan hadir memeriahkan dan menyokong program sebegini.

"Reformasi atau pembaharuan dalam persembahan puisi berupaya menarik perhatian masyarakat, khususnya anak muda generasi kini atau masa hadapan supaya meminati sastera negara, lebih-lebih lagi seni puisi," ujar beliau.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!