Perlindungan penuh pekerja gig pencapaian penting PERKESO - V Sivakumar

Foto hiasan. Gambar kecil: V Sivakumar
Foto hiasan. Gambar kecil: V Sivakumar
A
A
A

SHAH ALAM - Pelindungan penuh yang diberikan oleh Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) kepada pekerja gig merupakan pencapaian penting dalam usaha untuk menyokong pekerja dalam sektor itu.

Bekas Menteri Sumber Manusia, V Sivakumar berkata, inisiatif PERKESO amat dipuji khususnya dengan pengenalan Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS) untuk pekerja bebas.

Justeru beliau berbesar hati melihat hasrat melindungi kumpulan itu akhirnya menjadi kenyataan.

“Perkembangan ini merupakan satu pencapaian penting dalam usaha melindungi hak-hak pekerja dalam ekonomi gig yang berkembang pesat.

“Jumlah pekerja gig di Malaysia semakin meningkat, mengikuti trend global dan ramai pekerja kini memilih pekerjaan fleksibel untuk mencapai keseimbangan kerja dan hidup yang lebih baik,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Beliau yang juga ahli Parlimen Batu Gajah berkata, inisiatif dilaksanakan PERKESO bukan sahaja memberikan perlindungan kepada pekerja tetapi juga menyokong pertumbuhan mampan ekonomi gig di Malaysia.

Sehubungan itu, beliau mencadangkan agar PERKESO memperluaskan skop perlindungan yang merangkumi lebih banyak jenis pekerja gig, serta meningkatkan kesedaran tentang kepentingan perlindungan sosial dalam kalangan pekerja gig.

Katanya, perluasan perlindungan kepada pekerja gig merupakan langkah penting dalam evolusi perlindungan sosial di Malaysia.

Artikel Berkaitan:

"Ini menunjukkan komitmen pihak berkuasa dalam menangani keperluan tenaga kerja moden dan meletakkan asas untuk perlindungan yang lebih komprehensif bagi semua pekerja gig pada masa hadapan," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!