'Ebit ambil kesempatan atas kelemahan saya' - Pengadu

Ebit Lew hadir perbicaraan kes di Mahkamah Tenom pada Rabu.
Ebit Lew hadir perbicaraan kes di Mahkamah Tenom pada Rabu.
A
A
A

TENOM - [DIKEMAS KINI] Pengadu dalam kes Ebit Lew mengaku bahawa dia tidak memilih untuk menghentikan perbualannya dalam panggilan video selama 44 minit dengan pendakwah tersebut.

Menjawab soalan yang dikemukakan peguam, Datuk Ram Singh dalam sesi pemeriksaan balas di mahkamah, pengadu yang juga saksi pendakwaan kesembilan mengaku bahawa pada jam 7.50 pagi 20 Mei 2021 adalah antara tarikh yang dia telah terpedaya dengan Ebit Lew.

Ram bertanya, adakah dalam 44 minit sembilan saat itu pengadu mengatakan setiap masa dia terpedaya dengan Ebit Lew.

"Ya, dia ambil kesempatan terhadap kelemahan saya," katanya ketika memberi keterangan di Mahkamah Tenom, di sini pada Rabu.

Pengadu kemudian diminta menjelaskan apa kelemahannya yang dikatakan dalam tempoh selama 44 minit sembilan saat tersebut.

"Saya sebagai perempuan biasa, yang ada kelemahan tetapi Ebit ambil kesempatan," katanya.

Bagaimanapun, dalam pemeriksaan balas tersebut pengadu bersetuju bahawa dalam perbualan panggilan video itu ia tidak dilakukan secara fizikal iaitu Ebit Lew tidak berada dengannya dan pengadu tidak memilih untuk menghentikan perbualan tersebut.

Sehubungan itu, Ram menyimpulkan itu adalah kelemahan pengadu bahawa dia tidak boleh menghentikan perbualan tersebut.

Artikel Berkaitan:

"Ya, pada masa itu. Tapi selepas itu saya 'block' (sekat) dia," katanya.

Ram kemudian bertanya lagi, bila pengadu mengambil tindakan menyekat nombor telefon Ebit Lew selepas kejadian itu yang berlaku.

Pengadu memberitahu mahkamah dia menyekat nombor telefon Ebit Lew pada 11 Julai 2021.

Ram mengandaikan bahawa tindakan menyekat nombor telefon itu dilakukan lebih sebulan selepas kejadian itu berlaku pada 20 Mei 2021 dan pengadu menyertai untuk menghantar teks mesej kepada Ebit Lew sepanjang tempoh berkenaan.

"Saya tidak teks dia, dia yang hantar. Ya, saya balas tetapi bila tengok dia masih lagi ajak buat macam itu dan saya ambil keputusan Julai saya block," jelas pengadu.

Ram kemudian mengandaikan bahawa pengadu menikmati perbulaan yang panjang tersebut namun dinafikan oleh pengadu kerana perbualan itu lebih banyak berkaitan kemahuan seks Ebit Lew yang tidak dipenuhi isterinya.

Dalam perbualan panggilan video selama 44 minit itu, pengadu juga memberitahu mahkamah bahawa dia tidak merakam perbualan tersebut.

Ram mengandaikan tindakan tidak merakam tersebut adakah disebabkan pengadu berkongsi sesuatu yang intim tentang dirinya semasa panggilan video dibuat.

Namun ia disangkal oleh pengadu selain turut menolak andaian bahawa dia tidak merakam atau melakukan tangkap layar perkara yang boleh digunakan untuk Ebit Lew.


'Ebit Lew kata tukar pasangan tidak berdosa' - Pengadu

TENOM - Pengadu dalam kes Ebit Lew memberitahu mahkamah bahawa pendakwah yang dikenalinya sebagai ustaz itu telah merosakkannya dengan mengatakan bahawa perbuatan bertukar pasangan adalah tidak berdosa.

Dalam keterangan pemeriksaan balas daripada peguam, Datuk Ram Singh di Mahkamah Tenom pada Rabu, pengadu diminta menjelaskan keterangnya yang mendakwa Ebit Lew telah merosakkannya.

"Dia suruh bagi gambar, lepas itu saya pernah cakap saya isteri orang, berdosa buat begini. Dia sebagai ustaz, dia cakap ini semua tidak salah, jangan risau.

"Dia memperdayakan saya secara halus sehingga saya terikut cakap dia," katanya dalam keterangannya di mahkamah.

Ram kemudian meminta pengadu menjelaskan bila dia rasa telah dirosakkan seperti dalam keterangannya itu.

"Bila dia beritahu sebagai isteri tidak salah berhubung dengan dia, layan dia. Dia suruh suami saya ambil isteri dia, bertukar pasangan.

"Lepas itu dia minta gambar dan dia cakap semua itu tidak berdosa sedangkan dia seorang ustaz," kata pengadu.

Dalam pemeriksaan balas sebelum itu, Ram bertanya kenapa pengadu membuat aduan sehingga 11 pertuduhan terhadap Ebit Lew sedangkan pengadu secara rela menyertai perbualan panggilan video bersama pendakwah tersebut.

"Dia telah merosakkan saya sedangkan dia seorang Ustaz dan pendakwah yang orang percaya. Apa yang dia buat itu menipu di depan umum, nampak baik tetapi hakikatnya apa yang dia buat sangat keterlaluan.

"Tambah lagi dia yang sendiri beritahu saya yang dia ada mangsa lain dan mangsa itupun sudah buat laporan polis.

"Ini dia sendiri yang beritahu saya, jadi saya buat macam itu supaya tidak ramai lagi yang jadi mangsa macam kami, sebab pada mulanya kami percaya dan terjerat kepadanya," jelasnya.

Sementara itu, Ram juga pengadu meminta pengadu menjelaskan maksud perkataan yang dihantarnya menerusi teks mesej yang diandaikan sebagai pengadu ingin mengadakan seks dengan Ebit Lew.

"Tidak, sebab kalau saya perlu seks dari Ebit Lew, sudah lama saya ikut cakap dia.

"Dia tawarkan saya bagi tiket untuk pergi jumpa dia, tetapi saya tidak buat, saya tidak ikut," katanya.

Dalam perbicaraan itu, Ebit Lew atau nama sebenarnya Ebit Irawan Ibrahim, 38, berhadapan dengan 11 pertuduhan membuat hantaran gambar dan perkataan lucah bermaksud mengaibkan kehormatan mangsa melalui aplikasi WhatsApp antara Mac hingga Jun 2021 mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan.

Perbicaraan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nor Azizah Mohamad, Zahida Zakaria dan Analia Kamaruddin.

Ebit Lew diwakili oleh Ram, Kamarudin Mohmad Chinki, Timothy Daut, Mohd Syarulnizam Salleh Keruak dan Prem Elmer Ganasan manakala Majistret ialah Nur Asyraf Zolhani.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!