Tiada anjakan tarikh kuat kuasa pelesenan media sosial - Fahmi

Fahmi (kanan) mengadakan sidang media selepas melakukan tinjauan persiapan menjelang sambutan Hari Kebangsaan 2024 pada raptai Hari Kedua Sambutan Hari Kebangsaan 2024 di Dataran Putrajaya hari ini. Foto Bernama
Fahmi (kanan) mengadakan sidang media selepas melakukan tinjauan persiapan menjelang sambutan Hari Kebangsaan 2024 pada raptai Hari Kedua Sambutan Hari Kebangsaan 2024 di Dataran Putrajaya hari ini. Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Mesyuarat Jemaah Menteri hari ini memutuskan untuk meneruskan pelaksanaan kerangka kawal selia atau pelesenan perkhidmatan media sosial dan pesanan internet yang akan berkuat kuasa pada 1 Januari tahun depan.

Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata, perkara itu dipersetujui oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan barisan Jemaah Menteri.

"Kekal 1 Januari 2025 lesen bagi media sosial dan sistem pesanan internet berkuat kuasa.

"Tidak ada anjakan atau perubahan pada tarikh itu," katanya dalam sidang media di sini hari ini.

Beliau berkata, dua bentuk perkhidmatan yang akan dilesenkan ialah media sosial serta sistem pesanan internet dan tidak melibatkan mana-mana aplikasi.

Pada 26 Ogos lepas, persatuan yang mewakili syarikat Internet dan teknologi terkemuka iaitu Gabungan Internet Asia (AIC) menggesa kerajaan agar menghentikan serta mempertimbang dengan teliti rancangan pelesenan untuk platform media sosial.

AIC, yang dianggotai antaranya Google, Meta, Amazon dan Grab, telah menghantar bantahan menerusi surat bertarikh 23 Ogos yang ditujukan kepada Perdana Menteri.

Kerangka bagi melesenkan media sosial dan pesanan internet diluluskan oleh Kabinet pada 8 Mac lepas.

Artikel Berkaitan:

Pada 27 Julai lepas, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia mengumumkan bahawa semua perkhidmatan media sosial dan pesanan internet yang mempunyai sekurang-kurangnya lapan juta pengguna berdaftar di Malaysia perlu memohon Lesen Kelas Pemberian Perkhidmatan Aplikasi di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) bermula 1 Januari 2025.

Kegagalan memperoleh lesen selepas tarikh kuat kuasa adalah satu kesalahan dan tindakan perundangan sewajarnya boleh diambil mengikut Akta 588. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!