Mpox: Sentuhan fizikal lebih berisiko

Ruam berbentuk bulat seperti melepuh antara simptom jangkitan Mpox. - Foto Agensi
Ruam berbentuk bulat seperti melepuh antara simptom jangkitan Mpox. - Foto Agensi
A
A
A

GENEVA - Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada Selasa memaklumkan titisan di ruang udara adalah 'laluan kecil' penularan Mpox berbanding kontak fizikal ketika ia menggesa lebih banyak kajian dilakukan untuk memahami bagaimana wabak itu merebak.

Agensi tersebut mengisytiharkan Kecemasan Kesihatan Awam dengan Kebimbangan Antarabangsa (PHEIC) pada 14 Ogos lalu susulan lonjakan luar biasa strain Clade 1b di Republik Demokratik Congo (DRC) dan negara-negara jirannya.

WHO menerusi laman web rasmi mereka mengesahkan Mpox tersebar melalui sentuhan fizikal rapat dengan individu yang dijangkiti virus tersebut.

“Kontak rapat itu termasuk bersentuhan antara kulit dan kulit (hubungan seksual) dan mulut ke mulut atau mulut ke kulit seperti ciuman,” ujarnya.

Menurutnya, penyebaran wabak itu mungkin berlaku ketika bercakap atau bernafas hampir dengan individu dijangkiti Mpox yang boleh menjana zarah pernafasan berjangkit.

Jurucakap WHO, Margaret Harris berkata, terdapat potensi virus itu boleh menular jika individu mempunyai kontak rapat dengan mereka yang positif Mpox dan mempunyai inflamasi pada kulit.

“Sentuhan kulit ke kulit kekal menjadi 'laluan utama' virus tersebut. Air liur yang terpercik ketika bercakap bukanlah sumber utama penyebarannya selain melalui udara iaitu penularan jarak jauh. Penyelidikan lebih terperinci perlu dijalankan untuk memahami dinamika penghantarannya,” katanya ketika sesi taklimat di Geneva.

Ketika kebimbangan semakin meningkat di kebanyakan negara, WHO turut menyarankan pemakaian pelitup muka terhadap individu dijangkiti, kontak rapat dan kakitangan kesihatan yang merawat golongan terjangkit. - AFP

Artikel Berkaitan:

Info

>Terdapat dua subjenis Mpox iaitu Clade 1 (endemik di Lembangan Congo di tengah Afrika) dan Clade 2 (Afrika Barat).

>Lonjakan di DRC disebabkan oleh dua strain Clade 1 yang berbeza.

>Strain pertama yang merebak di barat laut DRC dikenali sebagai Clade 1 dan kini digelar Clade 1a.

>Penularan Clade 1b dan strain itu yang dikenal pasti di negara sekitar menjadi punca utama WHO membunyikan penggera kecemasan utama.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!