Peniaga mahu siasatan, pemeriksaan menyeluruh di lokasi tanah jerlus

DBKL menutup jalan berikutan terdapat satu mendapan tanah kecil di Jalan Masjid India, hari ini. Foto Bernama
DBKL menutup jalan berikutan terdapat satu mendapan tanah kecil di Jalan Masjid India, hari ini. Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Para peniaga di Jalan Masjid India berharap agar pihak berkuasa akan melakukan siasatan serta pemeriksaan menyeluruh mengenai keadaan tanah di kawasan itu bagi memastikan ia benar-benar selamat untuk peniaga dan pelanggan.

Ini berikutan insiden mendapan tanah yang dikesan berlaku berdekatan pondok polis di Jalan Masjid India hari ini.

Pekerja kedai emas Sarini Shamima Bahurdeen, 47, berkata orang ramai takut untuk ke kawasan itu lebih-lebih lagi selepas berlaku insiden mendapan tanah.

"Keluarga saya pun tidak mahu ke sini... Saya memang sangat berharap siasatan mengenai tanah di kawasan ini dilakukan dengan teliti kerana ia melibatkan nyawa dan harta benda peniaga serta penduduk di sini,” katanya kepada pemberita hari ini.

Anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia kini giat menjalankan operasi SAR untuk mencari wanita warga India yang hilang dalam insiden tanah jerlus di Jalan Masjid India baru-baru ini. Foto Bernama
Anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia kini giat menjalankan operasi SAR untuk mencari wanita warga India yang hilang dalam insiden tanah jerlus di Jalan Masjid India baru-baru ini. Foto Bernama

Dia juga berkata hasil jualan di kawasan tumpuan pelancong dan pekerja asing untuk membeli cenderamata serta keperluan itu merosot sekali gus menjejaskan pendapatan mereka sejak insiden tanah jerlus pada Jumaat lepas.

Peniaga permainan kanak-kanak yang hanya ingin dikenali sebagai Nathen, 35, pula berharap tindakan dapat diambil oleh kerajaan supaya insiden tanah jerlus tidak berulang yang akan menyebabkan orang ramai bimbang untuk berkunjung ke kawasan itu.

"Biasanya orang ramai akan berhenti bersama anak-anak mereka apabila nampak kedai ini namun sejak jalan ditutup kepada kenderaan dan dikawal, tidak ramai pelanggan masuk ke kawasan ini," katanya.

Artikel Berkaitan:

Insiden tanah jerlus itu menyaksikan seorang wanita dikenali sebagai Vijayaletchumy, 48, dari Kuppam, Andhra Pradesh, India hilang selepas terjatuh ke lubang sedalam lapan meter dengan operasi mencari dan menyelamat mangsa memasuki hari keenam hari ini. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!