Tiada anggota Kabinet dalam persatuan sukan buka ruang individu sepenuh masa
KEPUTUSAN Kabinet untuk tidak membenarkan menteri atau timbalan menteri bertanding atau memegang jawatan dalam persatuan sukan membuka lebih ruang kepada individu yang dapat memberikan sepenuh tumpuan dan komitmen.
Menyambut baik keputusan itu, Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin berpandangan ia juga akan memberikan peluang kepada pihak berkepentingan dalam persatuan sukan memilih sendiri individu yang sesuai berdasarkan penelitian mereka.
“Kita tak boleh mengatakan siapa yang layak atau tidak (untuk menerajui persatuan sukan).
"Tetapi ahli gabungan itu yang boleh menentukan (individu yang sewajarnya).
“Pemegang taruh individu atau persatuan yang memahami dari segi struktur dan boleh mengenali, tahu siapa yang boleh memimpin persatuan. Jadi keputusan hari ini, bagus kerana beri lebih peluang,” katanya semasa dihubungi.
Terdahulu, Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil pada sidang media hari ini, mengumumkan bahawa mesyuarat Jemaah Menteri memutuskan tidak membenarkan menteri atau timbalan menteri untuk bertanding atau memegang jawatan presiden mana-mana persatuan sukan.
Susulan itu, Fahmi dan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad yang masing-masing sebelum ini menyatakan hasrat bertanding jawatan Presiden Persatuan Bola Sepak Kuala Lumpur (KLFA) mengumumkan untuk menarik diri. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!