Sistem saliran di ibu kota perlu diperiksa - Dr Zaliha
KUALA LUMPUR - Terdapat keperluan pemeriksaan semula sistem saliran di ibu negara dilakukan susulan beberapa insiden mendapan tanah dilaporkan kebelakangan ini.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa berkata, langkah itu juga mengambil kira faktor kepesatan pembangunan di Kuala Lumpur yang ada antaranya telah berusia lebih 30 tahun.
Menurutnya, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) akan bekerjasama dengan agensi berkaitan bagi tujuan itu.
"Pembangunan KL ada berusia lebih 30 tahun, memang perlu dilakukan ujian sistem saliran menyeluruh.
"Insya-ALLAH kita akan bekerjasama dengan Perta (Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air), IWK (Indah Water Konsortium) dan pihak bertanggungjawab," katanya selepas mengadakan lawatan lokasi longkang runtuh di Pantai Permai Kampung Kerinchi di sini pada Rabu.
Turut hadir, Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil.
Zaliha berkata, pihaknya yakin sistem saliran menjalani pemeriksaan secara tahunan, namun akan menyemak jadual akhir kerja penyelenggaraan dilakukan dengan DBKL.
Tambah Zaliha, DBKL juga sedang dalam proses memperkukuh prosedur operasi standard (SOP) pembangunan di Kuala Lumpur dan mengambil kira kajian geoteknikal.
"Sebelum ini kajian tersebut dilakukan di kawasan bercerun dan pada masa akan datang, kajian sama akan diperluaskan ke kawasan rata.
"Ia mengambil kira faktor cuaca dan taburan hujan tidak menentu menjejaskan kestabilan tanah menyebabkan keadaan tidak diingini.
"Sementara waktu, kita akan tangguhkan projek pembangunan baharu di Kuala Lumpur sehingga dibentuk jawatankuasa," katanya.
Sementara itu beliau memaklumkan insiden longkang pecah yang berlaku di Pantai Permai Kampung Kerinchi dikesan berpunca saliran paip IWK pecah.
Katanya, kerja pembaikan akan dilakukan segera mengambil masa dijangka selama tiga minggu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!