Tanah jerlus: Pasukan PPDA lakukan selaman cari mangsa

Anggota PPDA melakukan persiapan untuk mencari mangsa yang terjatuh dalam insiden tanah jerlus dekat Jalan Masjid India.
Anggota PPDA melakukan persiapan untuk mencari mangsa yang terjatuh dalam insiden tanah jerlus dekat Jalan Masjid India.
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Anggota Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) melakukan persiapan untuk mencari mangsa yang terjatuh dalam insiden tanah jerlus dekat Jalan Masjid India di sini pada Rabu.

Tinjauan Sinar Harian di sekitar lokasi insiden mendapati beberapa anggota memakai alat termasuk pakaian keselamatan bagi tujuan selaman.

Terdahulu, turut kelihatan jengkaut sebelum itu digunakan bagi kerja-kerja pengorekan kawasan tanah jerlus berkenaan.

Ia dijalankan bertujuan untuk meletakkan hidro sub (generator) bagi tujuan menyedut air bagi memudahkan anggota PPDA melakukan selaman dalam usaha mencari dan menyelamat (SAR) mangsa.

Difahamkan hanya dua anggota dibenarkan masuk pada satu-satu masa dalam pembetung yang berdiameter 1.5 meter itu.

Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menerusi kenyataan memaklumkan, anggota bomba akan memasuki saluran kumbahan menerusi lubang berdekatan Wisma Yakin.

"Selain itu, kerja shoring secara manual dan penggalian juga telah dijalankan selain penglibatan unit anjing pengesan (K9) turut dilibatkan dalam pencarian ini.

"Kerja ground penetrating radar (GPR) turut dijalankan oleh Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) dan akan bersambung pada Khamis," katanya pada Rabu.

Artikel Berkaitan:

Sinar Harian sebelum ini melaporkan kejadian tanah mendap kedua dilaporkan berlaku kira-kira 50 meter dari lokasi insiden tanah jerlus di Jalan Masjid India di sini.

Kejadian tanah mendap itu dipercayai berlaku sekitar 2.30 pagi tadi selepas hujan lebat pada Selasa malam.

Kejadian tanah jerlus pada Jumaat lepas menyebabkan seorang wanita dikenali sebagai Vijayaletchumy, 48, dari Kuppam, Andhra, India hilang selepas terjatuh ke lubang sedalam lapan meter di situ dengan operasi mencari dan menyelamat memasuki hari keenam hari ini.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!