Osmera tabik karakter pemain SMK Shah Alam
PENGENDALI skuad bola sepak Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Shah Alam, Osmera Omaro menyifatkan kejayaan pasukan sekolah Pusat Latihan Daerah (PLD) itu menjulang kejuaraan Piala Datuk Mokhtar Dahari Bawah 18 tahun (B-18) sebagai sesuatu yang membanggakan tahun ini.
Malah Osmera juga mengakui sokongan padu pemangku pengetua SMK Shah Alam, Tuan Saripah Nor Riha Tuan Jaafar menjadi motivasi kepada pemain-pemain sekolah itu untuk tampil mentaliti menang dalam kejuaraan berkenaan.
"Syukur, alhamdulillah secara keseluruhannya pemain-pemain SMK Shah Alam mempamerkan satu persembahan amat membanggakan biarpun bermain dalam keadaan hujan permukaan padang licin pada perlawanan akhir ini.
"Pasukan SMK Shah Alam bukan sahaja menang kejuaraan Piala Datuk Mokhtar Dahari Bawah 18 tahun, tetapi paling penting berjaya menampilkan corak permainan menarik untuk menjulang trofi kejuaraan selepas edisi 2022.
"Alhamdulillah, segala yang kita rancang semasa sesi latihan berjaya dijelmakan pemain-pemain dengan gaya permainan bola sepak sebenar sepanjang perlawanan.
"Tidak defensive sebaliknya menampilkan permainan berkualiti biarpun berisiko yang akhirnya diterjemahkan dengan kemenangan besar," katanya juga berterima kasih kepada barisan jurulatih, pemain-pemain, guru-guru dan ibu bapa pelajar yang sentiasa memberikan sokongan padu.
Anak buah Osmera sebelum itu menjulang Kejuaraan Piala Datuk Mokhtar Dahari B-18 buat kali kedua selepas menang bergaya 4-1 ke atas SMK TTDI Jaya dalam perlawanan akhir yang berlangsung di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya pada Selasa.
Ini merupakan kali kedua SMK Shah Alam merangkul kejuaraan tersebut selepas melakukannya pada edisi 2022 selepas menewaskan SMK Dato' Harun.
Pencapaian 'skuad abang' tersebut juga kesinambungan kejayaan 'skuad adik' yang menjulang kejuaraan Piala Datuk Mokhtar Dahari B-15 selepas menewaskan SMK Dato' Harun dalam perlawanan akhir edisi sama.
Mengulas lanjut Osmera percaya kejayaan diraih skuad B-18 akan menjadi dos penggalak kepada skuad B-15 yang dijadualkan akan beraksi dalam kejuaraan sama selepas ini.
"Kita akan mempersiapkan pasukan untuk cabaran Kejuaraan Piala Datuk Mokhtar Dahari B-15 pula selepas ini. Dan kejayaan diraih 'skuad abang' sebenarnya merupakan satu motivasi kepada skuad B-15 untuk tampil lebih balik," katanya.
Kejayaan itu juga membolehkan SMK Shah Alam membawa pulang RM10,000, trofi dan sijil, SMK TTDI Jaya pula meraih RM7,000, medal serta sijil diikuti SMK Dato' Harun ketiga (5,000) dan SMK Bukit Jelutong (RM3,000).
Untuk rekod, Kumpulan Perangsang Selangor Berhad (KPS Berhad) merupakan penaja utama dengan Sinar Harian adalah media rasmi kejuaraan.
PIALA DATUK MOKHTAR DAHARI BAWAH 18 2024
JUARA
- SMK SHAH ALAM
NAIB JUARA
- SMK TTDI JAYA
KETIGA
- SMK DATO' HARUN
KEEMPAT
- SMK BUKIT JELUTONG
PASUKAN SORAK TERBAIK
- PASUKAN SMK SHAH ALAM
PENJAGA GOL TERBAIK
- MUHAMMAD HADIF MUHAMMAD AZIZUL (SMK SHAH ALAM)
PENJARING TERBANYAK
- VINCENZO OLIVEO D'DOZZEL DONNY (SMK SHAH ALAM)
PEMAIN TERBAIK PERLAWANAN AKHIR
- KHALISH FAKHREY MOHD RAZILAN (SMK SHAH ALAM)
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!