Fenomena tandas awam dua darjat
MENTERI Pembangunan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming baru-baru ini mengumumkan 10,000 tandas awam di negara ini telah mencapai taraf BMW, iaitu singkatan Bersih, Menawan, Wangi.
Katanya, kejayaan menaik taraf tandas awam itu dicapai hasil kerjasama pelbagai pihak termasuk sekolah, hotel dan restoran sejak tahun lalu.
Seperti kereta BMW yang mewah dan bergaya, jenama BMW tandas awam juga mampu meningkatkan imej negara khususnya di destinasi utama pelancongan mahupun pintu masuk negara. Ia juga meningkatkan persepsi positif rakyat terhadap pihak berkuasa tempatan (PBT).
Malangnya, persepsi pelancong asing terhadap kebersihan tandas awam di Malaysia masih buruk. Dalam satu tinjauan Sinar Harian, rata-rata hanya memberi markah lima persepuluh. Malah ada dalam kalangan pelancong asing itu tidak pernah menggunakan tandas awam sepanjang berada di negara ini kerana berasa kurang selesa.
Hakikatnya, isu tandas kotor masih lagi menjadi cabaran buat Malaysia. Pada tahun 2022 sahaja sebanyak 5,241 tandas awam atau 20 peratus daripada 26,081 tandas awam di kawasan PBT adalah berstatus dua bintang dan ke bawah iaitu kurang bersih dan kotor.
Peratusan itu meliputi semua kategori tandas awam seperti milik PBT, kedai makan, pusat beli-belah, stesen minyak, rumah ibadat, hentian awam, pejabat kerajaan, pusat pelancongan, sekolah dan institusi pengajian tinggi.
Dengan kata lain, tandas awam berstatus BMW masih belum separuh daripada keseluruhan jumlah tandas awam di negara ini, sekali gus menimbulkan persepsi dua darjat tandas awam.
Sungguhpun begitu, tandas kotor bukan salah PBT atau pemilik premis semata-mata, sebaliknya sikap rakyat Malaysia sendiri.
Mentaliti ada tukang cuci yang mendapat gaji untuk membersihkannya membuatkan ramai bersikap tidak kisah.
Mereka tidak peduli sama ada sampah dibuang ke dalam tong sampah, paip air tidak ditutup rapat atau tandas tidak dipam selepas digunakan.
Mentang-mentanglah mereka sudah bayar untuk menggunakan tandas, sudah menginap di hotel atau sudah makan di restoran, mereka fikir ada pekerja yang akan mencuci segala kekotoran yang mereka buat. Tolonglah!
‘Jihad’ terhadap kekotoran dan usaha menjadikan tandas kita bertaraf BMW adalah tanggungjawab semua.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!