Penduduk Gaza dipaksa pindah lagi
DEIR AL-BALAH - Sekumpulan penduduk Palestin berkerusi roda dan pesakit yang sebelum ini cedera dalam perang genosid di Genting Gaza berpusu-pusu meninggalkan Hospital al-Aqsa kerana bimbang menjadi sasaran kempen pengeboman terbaharu rejim Zionis.
Pemindahan segera itu dibuat sehari selepas tentera Israel mengeluarkan arahan mengungsi di sebahagian kawasan di timur bandar Deir al-Balah meskipun rejim Zionis menyatakan operasi ketenteraan tersebut kononnya tidak akan menyasarkan kemudahan kesihatan.
Salah seorang daripada mangsa yang dipindahkan ialah Tamam al-Raei yang buntu kerana tiada lagi tempat selamat mahu dituju.
“Saya alami kecederaan serius termasuk patah tulang dan sedang menerima rawatan. Tetapi, kini mereka suruh kami keluar dari sini. Di mana lagi saya boleh dirawat?” katanya dalam nada hiba.
Selain itu, beberapa keluarga yang berlindung di kompleks itu mula berpindah dan ada yang menyewa kereta keldai untuk membawa barangan penting milik mereka.
Pada Isnin, Pasukan Pertahanan Israel (IDF) memberi alasan kempen ketenteraan itu bertujuan untuk menghapuskan saki-baki anggota Hamas setelah perang tersebut sudah berlarutan selama lebih 10 bulan.
“Perlu ditegaskan sekali lagi, arahan berpindah ini tidak termasuk penghuni hospital dan mereka yang berlindung di kemudahan kesihatan di kawasan berkenaan,” ujarnya.
Pengumuman itu bagaimanapun tidak diendahkan penduduk Palestin memandangkan IDF berulang kali membedil hospital tanpa perikemanusiaan.
Insiden serangan ganas yang didakwa menyasarkan markas bawah tanah milik pejuang Hamas sejak beberapa bulan lalu gagal memberi jaminan kepada pesakit dan kakitangan perubatan di al-Aqsa untuk kekal di kompleks berkenaan.
“Kebanyakan mereka panik selepas arahan pemindahan paksa itu dibuat,” jelas jurucakap Kementerian Kesihatan Gaza, Khalil al-Daqran.
Ketika ini, sebahagian besar kompleks perubatan termasuk al-Aqsa berdepan kekurangan bekalan bahan api bagi memastikan ia terus berfungsi dan sebanyak 16 hospital tidak dapat beroperasi sepenuhnya.
Keadaan kesihatan di enklaf itu juga semakin meruncing setelah berdepan ancaman wabak polio dan kes pertama dalam tempoh 25 tahun turut dilaporkan pada minggu lalu.
Selain itu, kebanyakan keluarga sudah lelah untuk berpindah-randah lebih lima kali dan terpaksa memperjudikan nyawa masing-masing.
“Kami tiada lagi tempat berlindung yang selamat,” rintih Maha al-Sarsak.
Sementara itu, Pengarah al-Aqsa, Iyad al-Jabri berkata, beliau bersama pasukannya tidak akan ke mana-mana.
“Kami tidak akan berganjak dan mahu terus merawat pesakit serta mangsa yang cedera,” tegasnya. - AFP
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!