Sosioekonomi terjejas jika media sosial tidak beroperasi

Foto hiasan
Foto hiasan
A
A
A

SHAH ALAM - Malaysia berhadapan dengan ‘kelumpuhan’ jika syarikat internet dan teknologi mengambil pendekatan untuk tidak mematuhi rancangan pelesenan platform media sosial seperti yang mahu dilaksanakan kerajaan.

Ketua Kluster Penyelidikan (Teknologi Pintar dan Sistem) Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Profesor Madya Dr Azwa Abdul Aziz berkata, sektor ekonomi, pendidikan dan akhbar negara dijangka mengalami kesulitan sekiranya media sosial tidak lagi beroperasi.

Menurutnya, platform media sosial kini beroperasi kerana mendapat kebenaran daripada kerajaan dan ia tidak lagi dapat digunakan sekiranya disekat.

“Sekiranya penyedia media sosial ini mengambil pendekatan untuk tidak patuh kepada arahan kerajaan (lesen media sosial) maka mereka tidak dibenarkan beroperasi. Ini memberi kesan berganda kepada negara.

“Kesan dimaksudkan adalah bisnes dan peniaga kecil yang mencari rezeki menggunakan media sosial tidak lagi dapat diteruskan. Keadaan itu akan menjejaskan pendapatan sekali gus menyekat keupayaan mereka bergelar usahawan tempatan,” katanya ketika dihubungi pada Selasa.

Sebelum ini, persatuan yang mewakili syarikat internet dan teknologi terkemuka, Asia Internet Coalition (AIC) menggesa kerajaan menghentikan dan mempertimbangkan dengan teliti rancangan mengenai pelesenan untuk platform media sosial.

Dalam pada itu, Azwa berkata, keengganan tersebut akan membantutkan usaha guru dalam berkongsi ilmu pembelajaran menerusi alam maya.

“Corak pembelajaran kini telah berubah. Ramai pelajar menggunakan media sosial untuk mempelajari mata pelajaran yang kurang difahami.

Artikel Berkaitan:

“Ini kerana, ada guru menjadikan media sosial sebagai tempat untuk berkongsi formula pembelajaran yang mudah difahami,” ujarnya.

Susulan itu, beliau menyarankan agar kerajaan dan syarikat internet serta teknologi untuk membincangkan hal yang ingin dicapai.

Jelasnya, jika pelaksanaan pelesenan platform media sosial adalah bertujuan untuk mengawal peningkatan buli siber maka kerajaan boleh berbincang dengan penyedia terlibat berhubung tindakan yang boleh diambil.

“Dalam hal ini, perlu ada situasi ‘menang-menang’ untuk kedua-dua pihak. Kerajaan perlu duduk berbincang dengan syarikat internet dan teknologi terlebih dahulu sebelum melakukan langkah lain (wujud pelesenan platform media sosial),” ujarnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!