‘Peringatan’ dekatkan diri dengan kalam ALLAH

Program Malaysia #QuranHour 2024 akan diadakan serentak di seluruh negara pada 30 Ogos ini di lokasi perdana, Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, Putrajaya bermula jam 10 hingga 11 pagi.
Program Malaysia #QuranHour 2024 akan diadakan serentak di seluruh negara pada 30 Ogos ini di lokasi perdana, Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, Putrajaya bermula jam 10 hingga 11 pagi.
A
A
A

SHAH ALAM - Malaysia #QuranHour membantu umat Islam berbalik kepada fitrah asal dalam menjadikan kitab suci itu sebagai panduan dalam hidup.

Penyelaras Rumah Ngaji Pulau Pinang, Zaiton@Zariyah Abdullah berkata, kesedaran untuk berbalik kepada pegangan agama itu datang dalam pelbagai cara, antaranya menerusi acara sedemikian.

“Malaysia #QuranHour ini boleh dijadikan sebagai ‘peringatan’ kepada umat Islam untuk mendekatkan diri dengan kalam ALLAH.

“Dalam kehidupan ini, kita memerlukan panduan melakukan apa sahaja perkara kerana setiap perkara yang ingin dilaksanakan, ada solusi dalam al-Quran,” katanya kepada Sinar Harian.

Mengenai tema Malaysia #QuranHour 2024 iaitu Jiwa Merdeka: Memaknai Rukun Negara, Zaiton berkata, ia secara tidak langsung membantu masyarakat menzahirkan rasa syukur terhadap kemerdekaan yang dikecapi kini.

Katanya, kemerdekaan tidak hanya tertakluk kepada erti bebas daripada penjajah tetapi juga jiwa dalam memahami makna sebenar kebebasan.

“Sambutan kali ini memfokuskan keharmonian kaum di Malaysia yang mana kita perlu bersyukur terhadap kemerdekaan di samping mengisi makna kebebasan itu dengan perkara syarie.

“Kita sebagai umat Islam perlu menjadikan panduan ALLAH (al-Quran) untuk memaknai erti kemerdekaan berpandukan kitab suci,” ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Zaiton berkata, Rumah Ngaji Pulau Pinang turut mengadakan Malaysia #QuranHour 2024 peringkat negeri dengan menghimpunkan sebanyak 80 buah Rumah Ngaji untuk bersama-sama menyertai majlis agama itu.

Menurutnya, acara tersebut akan diadakan di Masjid Jamiul Sharif Pokok Machang, Tasek Gelugur pada 1 September ini bermula jam 9 hingga 11 pagi.

“Saya menganggarkan seramai 600 peserta akan mengikuti sambutan Malaysia #QuranHour 2024 peringkat negeri,” tambahnya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!