Hadkan aktiviti atau bersosial seperti biasa?
KES jenayah seperti pembunuhan dan penculikan yang semakin meningkat memberi kesan psikologi kepada masyarakat.
Perkara tersebut menyebabkan orang ramai menjadi lebih berhati-hati sehingga menghadkan aktiviti atau rutin harian mereka kerana berasa bimbang dengan kes jenayah yang semakin berleluasa.
Menerusi komentar di platform media sosial mendapati ramai yang menghindarkan diri daripada melakukan sebarang aktiviti seorang diri dan perkara tersebut sudah tentu memberi impak buruk terhadap kegiatan sosial.
Bagaimanapun cadangan berkenaan menimbulkan respons yang pelbagai dalam kalangan orang awam.
Ada yang setuju dan ada juga yang tidak setuju dengan idea tersebut namun masing-masing datang bersama hujah tersendiri.
SOKONG
Dapatkan bantuan kaunseling atasi ketakutan
Kes jenayah seperti pembunuhan dan penculikan memang memberi kesan langsung kepada masyarakat lebih-lebih lagi perasaan takut serta cemas sehingga menyebabkan orang ramai mengambil sikap berhati-hati.
Sekiranya perasaan takut berlebihan mengganggu kehidupan seharian, maka mereka perlu segera mendapatkan bantuan profesional seperti rawatan terapi atau kaunseling bagi mengatasi masalah tersebut.
Terapi membantu individu menguruskan perasaan cemas, memulihkan keyakinan dan mengembangkan strategi untuk menghadapi ketakutan dengan cara lebih sihat.
Dalam situasi yang semakin mencabar ini, menjaga kesihatan mental adalah sama pentingnya dengan menjaga kesihatan fizikal.
Terapi dan sokongan sosial boleh memainkan peranan penting dalam membantu masyarakat menghadapi kesan psikologi terhadap jenayah.
Antara langkah yang boleh diambil ialah meningkatkan keselamatan peribadi dengan menggunakan aplikasi dan kemahiran mempertahankan diri.
Selain itu, kawasan perumahan atau penduduk setempat perlu mewujudkan komuniti lebih rapat dengan membina jaringan sokongan yang boleh membantu mengurangkan rasa takut.
Bagi menambahkan kesedaran, orang ramai perlu mendapatkan maklumat tentang risiko sebenar dan langkah berjaga-jaga yang boleh membantu mengurangkan ketakutan berlebihan.
- Pakar Psikologi dan Kaunseling dari Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Profesor Madya Dr Fauziah Mohd.
BANGKANG
Tidak perlu rasa takut, elak kehidupan terganggu
Orang ramai tidak perlu berasa takut sehingga menghadkan sebarang aktiviti susulan peningkatan kes jenayah kerana ia akan mengganggu fungsi kehidupan seharian terutama sosial dan ekonomi yang memerlukan mereka bekerja atau berada di luar kawasan.
Masalah ketakutan itu juga akan memberi impak negatif terhadap hubungan sesama manusia apabila mula berasa tidak percaya kepada orang sekeliling dan berhenti melakukan rutin harian kerana perasaan bimbang melebihi sifat rasional individu tersebut.
Antara kesan lain masalah tersebut ialah sentiasa berfikiran buruk dan berasa tidak selamat dengan keadaan sekeliling.
Mereka juga tidak perlu menjalani sebarang sesi terapi atau kaunseling kecuali terdapat situasi yang menjurus ke arah anxiety berpanjangan sehingga memberi impak terhadap fungsi kehidupan.
- Pakar Psikologi Klinikal, Pusat Pengajian Sains Perubatan (PPSP), Profesor Madya Dr Azizah Othman.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!