Lelaki rentung terperangkap dalam kebakaran rumah
KUALA KANGSAR - Seorang lelaki ditemui rentung selepas terperangkap dalam kebakaran rumah di Jalan Kampung Baru Liman Kati di sini, awal pagi Khamis.
Mangsa berusia 36 tahun ditemui di bahagian dapur rumah berkenaan.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, panggilan kejadian diterima Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Kangsar jam 1.10 pagi.
"Anggota yang tiba di lokasi kejadian mendapati keadaan api sedang marak membakar keseluruhan rumah.
"Terdapat seorang lelaki terperangkap dalam kebakaran itu dan mangsa telah ditemui dalam keadaan rentung di ruangan dapur rumah," katanya dalam kenyataan di sini.
Beliau berkata, pegawai perubatan yang hadir ke lokasi telah mengesahkan kematian mangsa.
"Mangsa kemudiannya diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut," katanya.
Sabarodzi berkata, operasi pemadaman dilakukan menggunakan tiga aliran hos 100 kaki air dari tangki jentera dan pili bomba sehingga kebakaran dapat dipadamkan sepenuhnya.
"Kebakaran mengakibatkan rumah musnah 90 peratus.
"Operasi yang dibantu anggota Balai Bomba dan Penyelamat Lenggong dengan kekuatan keseluruhan 18 anggota tamat pada jam 2.15 pagi," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!