Lelaki bunuh isteri, dua anak didakwa pagi ini
ALOR SETAR - Suspek warganegara asing yang disyaki membunuh isteri dan dua anaknya akan didakwa di Mahkamah Majistret, di sini pada pagi Khamis.
Lelaki yang memakai baju kemeja T dan berseluar hitam itu diiringi anggota polis dan tiba di mahkamah pada jam 9.30 pagi.
Suspek yang dibawa dengan bergari dan kelihatan sugul itu akan didakwa di dua mahkamah majistret untuk pertuduhan kes bunuh dan dadah.
Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan seorang lelaki ditahan reman selama tujuh hari bermula Selasa hingga 26 Ogos mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan bagi membantu siasatan kes pembunuhan isteri dan anaknya.
Lelaki itu ditahan di sebuah masjid di Bukit Pinang, selepas disyaki membunuh isteri dan dua anaknya berikutan kesan kelar di leher mangsa.
Mayat isteri dan anak perempuan masing-masing berusia 34 tahun dan 10 tahun ditemui pada jam 5 petang dalam longkang di belakang bangunan terbiar berhampiran Pekan Simpang Kuala, di sini pada 19 Ogos lepas.
Keesokan harinya, mayat anak lelaki berusia dua tahun pula ditemui pada jam 12 tengah hari di kawasan Pantai Leman, Kuala Kedah.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!