Beri alasan ambil dadah kerana hendak memandu lama

Stiem Van Lutam (tengah) memeriksa dokumen perjalanan dalam Ops Kenderaan Perdagangan di Plaza Tol Jitra, arah Selatan, malam tadi. Foto Bernama
Stiem Van Lutam (tengah) memeriksa dokumen perjalanan dalam Ops Kenderaan Perdagangan di Plaza Tol Jitra, arah Selatan, malam tadi. Foto Bernama
A
A
A

JITRA - [DIKEMAS KINI] Sembilan pemandu lori dan dua kelindan ditahan kerana positif dadah jenis methamphetamine dalam Operasi Khas Kenderaan Perdagangan di di Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah selatan berdekatan Plaza Tol Jitra, di sini, bermula 1 Ogos hingga malam Rabu.

Kesemua individu yang ditahan selepas ujian saringan dijalankan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) merupakan warga tempatan berusia lingkungan 20-an hingga 50-an .

Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kedah, Stien Van Lutam berkata, ketika ditahan, individu terlibat memberikan alasan kononnya mengambil dadah bagi mendapatkan tenaga untuk memandu lebih lama dan jauh.

Stiem Van Lutam (kiri) memeriksa tayar lori sebuah treler dalam Ops Kenderaan Perdagangan di Plaza Tol Jitra, arah Selatan, malam tadi. Foto Bernama
Stiem Van Lutam (kiri) memeriksa tayar lori sebuah treler dalam Ops Kenderaan Perdagangan di Plaza Tol Jitra, arah Selatan, malam tadi. Foto Bernama

Bagaimanapun, beliau berpandangan, apa-apa yang dinyatakan disifatkan sebagai alasan semata-mata memandangkan ramai pemandu diperiksa mampu memandu jauh tanpa mengambil barangan terlarang itu.

"Sehubungan itu, JPJ mengantung lesen memandu mereka dan akan mengaudit majikan memandangkan mereka mengupah pemandu tidak kompeten yang mengambil bahan terlarang.

"Syarikat terbabit akan berdepan tindakan digantung ataupun dibatalkan terus permit pengendali kenderaan sekiranya gagal ketika proses mengaudit berkenaan," katanya.

Anggota Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) memeriksa dokumen perjalanan pemandu treler dalam Ops Kenderaan Perdagangan di Plaza Tol Jitra, arah Selatan, malam tadi. Foto Bernama
Anggota Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) memeriksa dokumen perjalanan pemandu treler dalam Ops Kenderaan Perdagangan di Plaza Tol Jitra, arah Selatan, malam tadi. Foto Bernama

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata sedemikian pada sidang akhbar Ops Khas Kenderaan Perdagangan 2024 pada Rabu malam.

Sebelum itu, operasi bersepadu selama satu bulan bermula dari jam 10 pagi sehingga jam 10 malam itu melibatkan JPJ bersama AADK dan Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT).

Beliau berkata, tindakan pemandu lori mengambil dadah dikhuatiri mendatangkan bahaya terutamanya kepada kenderaan-kenderaan kecil.

"Selain itu, dua pemandu termasuklah seorang wanita berusia lingkungan 20-an turut dikenakan saman disebabkan memandu treler yang mempunyai tayar merekah yang berisiko kepada pengguna jalan raya lain," katanya.

Dalam perkembangan sama, Stien Van memaklumkan, sebanyak 32,526 kenderaan telah diperiksa sepanjang operasi dengan 1,388 diambil tindakan atas pelbagai kesalahan.

Beliau menambah, sebanyak 3,777 notis dikeluarkan atas kegagalan mematuhi pelbagai kesalahan dan undang-undang.

Katanya lagi, pihaknya mengeluarkan saman terbanyak iaitu berjumlah 603 kes kepada pemandu kenderaan perdagangan dan pengangkutan awam yang melakukan kesalahan lesen kenderaan motor (LKM) tamat tempoh.

“Selain itu terdapat tiga lagi kesalahan yang mencatatkan saman tertinggi iaitu tiada insurans, tiada lesen memandu kompeten (CDL) serta isu-isu teknikal yang masing-masing mencatatkan 482, 467 dan 431 pengeluaran saman daripada JPJ,” katanya.

Beliau menjelaskan, operasi dilaksanakan bagi mengurangkan kadar kemalangan, kecederaan parah dan kematian di lebuh raya selain mengurangkan kesesakan jalan raya terutama di lebuh raya.

"Selain itu, JPJ ingin membudayakan kesedaran kepada pematuhan undang–undang serta memupuk rasa bersalah apabila melakukan pelanggaran peraturan jalan raya dalam kalangan pemilik atau pemandu kenderaan dan meningkatkan persepsi orang awam (POBC) untuk ditangkap melalui penguatkuasaan yang dijalankan," katanya.

Menurut beliau, JPJ memandang serius dan tidak akan berkompromi dengan mana-mana pemandu terutamanya pemandu kenderaan pelancongan dan perkhidmatan awam yang masih tegar melanggar undang-undang dan peraturan yang ditetapkan.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!