Perang bendera, hias rumah guna barangan terpakai
SEREMBAN - Hanya menggunakan bahan terpakai, pelbagai replika dibina oleh penduduk di Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Taman Matahari Indah, Taman Mayang Sari dan Taman Senawang Indah di sini bagi menghasilkan hiasan kemerdekaan selain berlakunya 'perang bendera'.
Menariknya, kebanyakan barangan yang digunakan mereka seperti troli barang, botol plastik, kayu, kotak dan tayar menjadi replika bangunan ikonik negara Menara Berkembar Petronas atau KLCC, kereta kebal dan robot.
Pengerusi KRT Taman Matahari Indah, Mohd Faizul Kamarozaman berkata, ia merupakan aktiviti bagi memeriahkan Pertandingan Rumah dan Lorong Tercantik sempena bulan kemerdekaan 2024.
Menurutnya, idea itu tercetus selepas beliau bersama ahli jawatankuasanya (AJK) berbincang untuk mengadakan program kejiranan.
"Kebetulan adanya bulan kemerdekaan ini, maka KRT mengambil keputusan untuk mengadakan program tersebut.
"Inisiatif penduduk untuk memeriahkan bulan kemerdekaan pada kali ini harus dipuji kerana kesemua mereka sepakat menyiapkan hiasan dengan mengunakan Jalur Gemilang.
"Mereka sanggup keluar duit sendiri untuk mencantikkan rumah dan lorong taman secara sukarela atas semangat patriotisme," katanya ketika ditemui pemberita pada Rabu.
Ujarnya, selain mengibarkan Jalur Gemilang, rata-rata penduduk mengambil inisiatif untuk mengubah hiasan sendiri mengikut kreativiti masing-masing.
Sementara itu, suri rumah, Zawiyah Abu Hasan, 45, berkata, mengambil masa lebih kurang seminggu untuk menyiapkan perhiasan kemerdekaan tersebut.
Katanya, dia bersama penduduk di lorong rumahnya bergotong-royong menyiapkan hiasan dan menyusun botol kosong untuk dijadikan replika Menara Berkembar Petronas.
"Selain itu, untuk membangkitkan lagi semangat patriotisme, saya melukis sendiri gambar Tuanku Abdul Rahman, tugu negara, dan beberapa Jalur Gemilang di sekeliling tembok di kejiranan kami di sini," katanya.
Penduduk, Farizal Osman, 45, berkata, semuanya berjalan lancar, penghuni di perumahan tersebut seronok dapat bersama-sama menyiapkan hiasan kemerdekaan.
"Kita guna kotak dan troli barang untuk bina kereta kebal dan meriam. Menang atau kalah itu tidak menjadi masalah, yang penting semangat kejiranan dan bersatu padu antara satu sama lain dapat dicapai," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!