Setiausaha persatuan amal rugi lebih RM700,000 diperdaya sindiket penipuan

Seorang setiausaha Persatuan Amal menanggung kerugian RM728,480 selepas terperdaya dengan sindiket penipuan yang menyamar sebagai pegawai Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dan pegawai polis. Gambar hiasan
Seorang setiausaha Persatuan Amal menanggung kerugian RM728,480 selepas terperdaya dengan sindiket penipuan yang menyamar sebagai pegawai Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dan pegawai polis. Gambar hiasan
A
A
A

KUANTAN - Seorang setiausaha persatuan amal menanggung kerugian RM728,480 selepas terperdaya dengan sindiket penipuan yang menyamar sebagai pegawai Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dan pegawai polis.

Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman berkata, kejadian pada 7 Ogos lalu selepas wanita berusia 38 tahun itu menerima panggilan telefon daripada suspek yang menyamar pegawai SKMM.

Menurutnya, suspek memaklumkan terdapat laporan dibuat atas nombor telefon mangsa sebelum panggilan itu disambungkan kepada seorang lagi suspek yang menyamar pegawai polis.

"Wanita terbabit diberitahu dia terlibat dalam kes dadah, seterusnya memintanya membuat pemindahan wang bagi tujuan siasatan.

"Dalam tempoh 13 hingga 19 Ogos, mangsa telah membuat sebanyak 147 kali transaksi ke dalam 11 akaun bank berbeza sehingga mengalami kerugian RM728,480," katanya pada Khamis.

Beliau berkata, sumber kewangan mangsa adalah daripada wang simpanan dan pemberian mendiang ayahnya.

Susulan itu, mangsa tampil membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuantan dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

Sehubungan itu, Yahaya menasihatkan orang ramai yang menerima panggilan meragukan untuk segera membuat semakan dengan pihak polis atau agensi kerajaan bagi mengelakkan dari menjadi mangsa penipuan.

Artikel Berkaitan:

Masyarakat juga diingatkan supaya membuat semakan nombor akaun dan nombor telefon yang diterima di pautan https://semakmule.rmp.gov.my terlebih dahulu sebelum membuat sebarang transaksi.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!