Tanah jerlus: Operasi SAR terus guna kaedah GPR
KUALA LUMPUR - Kaedah Ground Penetrating Radar (GPR) diteruskan dalam misi mencari dan menyelamat mangsa tragedi tanah jerlus yang memasuki hari ketujuh, pada Khamis.
Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Dr Maimunah Mohd Sharif berkata, kerja-kerja menggunakan alat itu dijalankan oleh Jabatan Mineral dan Geosains (JMG).
"Kerja-kerja melalui kaedah Ground Penetrating Radar (GPR) oleh Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) diteruskan sehingga selesai.
"Keutamaan pasukan SAR adalah untuk menemukan mangsa secepat mungkin, dan usaha tanpa henti dilakukan secara berterusan," katanya menerusi kenyataan pada Khamis.
Katanya, fokus utama kekal untuk mencari mangsa sehingga ditemui.
"DBKL terus bekerjasama dengan seluruh pasukan SAR antaranya Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Jabatan Mineral dan Geosains (JMG), Jabatan Kerja Raya, Agensi Nuklear Malaysia serta pihak Indah Water Konsortium (IWK).
"Saya menzahirkan ucapan terima kasih seluruh pasukan yang tanpa mengenal jemu dan putus asa serta terus berusaha dari siang hingga ke malam mencari mangsa," katanya.
Operasi mencari dan menyelamat (SAR) diteruskan pada Khamis dengan petunjuk berkaitan halangan berupa objek yang dikesan antara lokasi tanah jerlus dan lurang kumbahan kedua.
Bagaimanapun difahamkan penyelaman yang dilakukan anggota Pasukan Penyelamatan Di Air (PPDA) kira-kira jam 3.05 pagi belum lagi menemukan sebarang perkembangan positif.
Difahamkan juga usaha pengepaman air dekat kawasan tanah jerlus sebelum itu dijalankan pihak Indah Water Konsortium (IWK) sebelum penyelaman dilakukan.
Kejadian tanah jerlus pada Jumaat lepas menyebabkan seorang wanita dikenali sebagai Vijayaletchumy, 48, dari Kuppam, Andhra, India hilang selepas terjatuh ke lubang sedalam lapan meter di situ dengan operasi mencari dan menyelamat memasuki hari keenam.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!