'Belum masanya warta Jalan Masjid India sebagai zon tidak selamat'

Polis mengesahkan laluan sepanjang 1.4 meter di Jalan Masjid India ke Jalan Raja Laut, Kuala Lumpur telah ditutup susulan mendapan tanah dikesan berlaku di kawasan berkenaan.
Polis mengesahkan laluan sepanjang 1.4 meter di Jalan Masjid India ke Jalan Raja Laut, Kuala Lumpur telah ditutup susulan mendapan tanah dikesan berlaku di kawasan berkenaan.
A
A
A

KOTA BHARU - Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain mengesahkan laluan sepanjang 1.4 meter di Jalan Masjid India ke Jalan Raja Laut, Kuala Lumpur telah ditutup susulan mendapan tanah dikesan berlaku di kawasan berkenaan.

Menurut beliau, arahan tersebut sudah dikeluarkan kepada Ketua Polis Daerah Dang Wangi dan ketua polis negeri.

"Penutupan ini melibatkan laluan yang mempunyai lima pembentung dan arahan berkait perkara tersebut.

"Kita (polis) tutup laluan itu sahaja dan tidak mengeluarkan arahan supaya kawasan-kawasan lain turut berbuat demikian.

"Perniagaan tidak ditutup, urus niaga masih berlangsung seperti biasa. Laluan ke pembentung itu sekitar 50 hingga 70 meter sahaja," katanya semasa sidang akhbar pada Khamis.

Sebelum itu beliau menyaksikan Majlis Serah Terima Tugas Pemangku Ketua Polis Kelantan, Deputi Komisioner Mohd Ali Tamby menggantikan Datuk Muhamad Zaki Harun yang bersara wajib pada 31 Ogos ini di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan di sini.

Menurut Razarudin, kawasan yang ditutup itu tidak melibatkan laluan masuk kenderaan.

Ujarnya, beliau tidak mahu menyentuh panjang perkara tersebut kerana ia melibatkan soal teknikal.

Artikel Berkaitan:

Razarudin (kanan) semasa hadir pada Majlis Serah Terima Tugas Pemangku Ketua Polis Kelantan apabila Muhamad Zaki bersara wajib pada 31 Ogos ini di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan pada Khamis.
Razarudin (kanan) semasa hadir pada Majlis Serah Terima Tugas Pemangku Ketua Polis Kelantan apabila Muhamad Zaki bersara wajib pada 31 Ogos ini di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan pada Khamis.

Razarudin berkata, belum masanya untuk mewartakan lokasi tersebut sebagai zon tidak selamat.

Tambah beliau, untuk berbuat demikian polis perlu mengemukakan permohonan kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN) untuk mengisytiharkan kejadian itu sebagai bencana.

"Ini bukan bencana. Tetapi kami (polis) termasuk bomba serta agensi berkaitan menjalankan tugas seolah-olah ia seperti bencana. Kita buka Pusat Kawalan Operasi Bersepadu," ujarnya.

Sinar Harian pada 23 Ogos lalu melaporkan, seorang wanita warga India dikenali sebagai Vijayaletchumy, 48, hilang selepas terjatuh ke lubang sedalam lapan meter susulan insiden tanah jerlus di Jalan Masjid India semasa melalui jalan itu untuk ke kuil berhampiran.

Operasi SAR diaktifkan pada hari sama melibatkan anggota daripada pelbagai pasukan keselamatan dan pihak berkuasa tempatan yang telah menggunakan pelbagai teknik termasuk penggunaan unit anjing pengesan (K9) dan kaedah jetting.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!