PDRM terbuka untuk disiasat berkait kes rasuah - KPN
KOTA BHARU - Polis Diraja Malaysia (PDRM) terbuka untuk disiasat berkait apa sahaja kes yang melibatkan rasuah dalam kalangan pegawai serta anggota.
Tegas Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain, pihaknya tidak akan menyekat mana-mana agensi, terutama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk menyiasat perbuatan salah laku itu.
"Jika ada pegawai dan anggota yang terlibat dengan rasuah, kita tidak akan bertolak ansur, malah akan membantu mereka (SPRM).
"Selama ini pun hubungan PDRM dan SPRM sangat baik," katanya semasa sidang akhbar pada Khamis.
Terdahulu, beliau menyaksikan Majlis Serah Terima Tugas Pemangku Ketua Polis Kelantan, Deputi Komisioner, Mohd Ali Tamby menggantikan Datuk Muhamad Zaki Harun yang bersara wajib pada 31 Ogos ini di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan di sini.
Razarudin memberitahu, pihaknya bersedia membantu apa jua keperluan dalam membuat siasatan terutama melibatkan isu rasuah serta apa sahaja kes melibatkan salah laku.
Ujarnya, menjadi pegawai serta anggota PDRM mesti mematuhi semua undang-undang yang ada di Malaysia serta peraturan Perintah Tetap Ketua Polis Negara.
Tambah beliau, mereka juga mestilah berkhidmat cemerlang bertunjangkan integriti dan tata kelola baik bagi mengelak daripada terjebak dengan sebarang salah laku.
"Saya mengingatkan kepada semua termasuk diri saya sendiri supaya bertunjanglah ke arah integriti dan tata kelola. Perkara tersebut perlu dijadikan landasan perkhidmatan bagi setiap warga PDRM," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!