Ancelotti tak bimbang permulaan perlahan Mbappe

Mbappe
Mbappe
A
A
A

PENGENDALI Real Madrid, Carlo Ancelotti tidak bimbang dengan permulaan Kylian Mbappe bersama gergasi La Liga Sepanyol itu selepas penyerang Perancis berkenaan gagal menjaringkan gol dalam dua perlawanannya.

Mbappe yang berusia 25 tahun menyertai pemenang La Liga dan Liga Juara-Juara sebagai ejen bebas dari Paris Saint-Germain pada Jun.

Biarpun membuat permulaan memberangsangkan apabila menjaringkan gol pada penampilan sulungnya untuk membantu Real menang 2-0 ke atas juara Liga Europa, Atalanta dalam perlawanan akhir Piala Super UEFA dua minggu lalu namun, Mbappe masih belum menemui jaringan dalam dua perlawanan La Liga bersama Real ketika bergelut seri di Mallorca diikuti kemenangan kurang menyakinkan ke atas Real Valladolid di laman sendiri selepas itu.

"Gol terakhirnya pada 14 Ogos, namun itu bukan sebab untuk dibimbangkan. Sama ada kami tidak bimbang sebagai sebuah kelab, mahupun dia.

"Dia sangat gembira di sini, dan pasti mahu menjaringkan gol dalam perlawanan seterusnya. Begitu juga Vinicius, yang masih belum menjaringkan gol musim ini dan saya juga tidak nampak dia risau.

"Mbappe sedang berkembang dengan sangat baik, saya lihat dia bermain lebih baik setiap hari, teruja, bermotivasi, berlatih dengan baik. Dia sangat merendah diri. Saya rasa adaptasinya berjalan dengan baik," kata Ancelotti.

Malah Ancelotti menjangkakan permulaan perlahan pasukan selepas persaraan pemain tengah utama Toni Kroos, ketika Mbappe cuba mengisi kekosongan sebagai penyerang tengah baharu.

“Setiap tahun mempunyai cabaran tersendiri kerana terdapat perubahan dalam struktur sesebuah pasukan dan sistem yang dilaksanakan.

Artikel Berkaitan:

"Tahun lalu kami juga memerlukan masa pada permulaan musim, kami memerlukan gol lewat untuk mendapatkan keputusan dalam banyak perlawanan. Ia akan mengambil sedikit masa sehingga kami menemui rentak dan versi terbaik diri kami tetapi perkara biasa.

"Saya tidak meminta Toni Kroos menjadi Aurelien Tchouameni tahun lepas, sama seperti saya tidak akan meminta Tchouameni menjadi Kroos. Setiap pemain mempunyai ciri tersendiri. Pasukan perlu menyesuaikan diri dengan ciri-ciri yang ada pada Tchouameni, itu yang sangat penting untuk kita pada ketika ini,” kata Ancelotti.

LA LIGA

JUMAAT

Las Palmas lwn Real Madrid

(Stdm Gran Canaria, 3.30 pagi)

Girona lwn Osasuna

(Stdm Montilivi, 1 pagi)

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!