Sindiket pemerdagangan manusia: Polis rakam keterangan ahli politik, suami

Razarudin (kanan) semasa sidang akhbar di IPK Kelantan pada Khamis.
Razarudin (kanan) semasa sidang akhbar di IPK Kelantan pada Khamis.
A
A
A

KOTA BHARU - Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain memaklumkan pihaknya sudah merakam keterangan seorang ahli politik dan suaminya yang didakwa berkait dengan sindiket pemerdagangan manusia di Myanmar.

Menurut beliau, keterangan pasangan suami isteri itu diambil pada Julai lalu selepas artikel pertama berhubung kes terbabit dilaporkan.

"Kita sudah menjalankan siasatan. Buat masa ini ia masih diteruskan. Kita juga akan mendapatkan artikel yang dikeluarkan oleh negara berkenaan (Myanmar)," katanya semasa sidang akhbar pada Khamis.

Sebelum itu beliau menyaksikan Majlis Serah Terima Tugas Pemangku Ketua Polis Kelantan, Deputi Komisioner Mohd Ali Tamby menggantikan Datuk Muhamad Zaki Harun yang bersara wajib pada 31 Ogos ini di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan di sini.

Razarudin memberitahu, pihaknya juga akan mencari saksi bagi membantu siasatan berhubung kes terbabit.

Media semalam melaporkan, Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO) meminta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat seorang ahli politik di negara ini yang didakwa terbabit sindiket pemerdagangan manusia di Myanmar.

Setiausaha Agungnya, Datuk Hishamuddin Hashim berkata, modus operandi sindiket ini adalah memperdaya mangsa secara dalam talian dengan menawarkan pekerjaan yang menarik sebelum memaksa mangsa bekerja sebagai `scammer' penipuan judi secara dalam talian.

Artikel Berkaitan:
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!