Jaminan KL selamat perlu disusuli pendekatan proaktif DBKL
KUALA LUMPUR - Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) perlu bertindak segera menangani isu berkaitan keselamatan Kuala Lumpur.
Ketua Pemuda MCA Wilayah Persekutuan, Mike Chong Yew Chuan berkata, walaupun Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Dr Maimunah Mohd Sharif memberi jaminan bahawa Kuala Lumpur selamat didiami namun isu infrastruktur yang berterusan timbul telah menimbulkan keresahan orang ramai.
Menurutnya, selepas insiden tanah jerlus di Masjid India pada Jumaat, satu lagi mendapan tanah berlaku di kawasan berdekatan.
"Pada Isnin, satu longkang runtuh di Kampung Kerinchi. Mei lalu sebatang pokok besar tumbang di Jalan Sultan Ismail, menyebabkan kerosakan besar pada kenderaan, tempat perhentian bas, dan landasan monorel
"Dalam kejadian 22 Ogos lalu, 52 penduduk dari 17 rumah teres di Taman Bunga Raya diarah berpindah susulan insiden sebahagian dinding penahan di Jalan Genting Klang berhampiran Kem Wardieburn runtuh," katanya menerusi kenyataan.
Katanya, itu sebahagian daripada kejadian-kejadian yang membimbangkan mengenai kegagalan infrastruktur di bandar raya Kuala Lumpur.
Ujarnya, pelbagai isu lain tidak dilaporkan seperti lopak, masalah saliran dan banjir yang menimbulkan persoalan serius mengenai keselamatan infrastruktur ibu kota.
Justeru katanya, DBKL perlu mengambil langkah penyelesaian berkesan serta tidak mengabaikan kebimbangan orang ramai.
"Jaminan DBKL (Kuala Lumpur selamat diduduki) nampaknya tidak mencukupi memandangkan kekerapan kejadian-kejadian yang serius ini.
"DBKL perlu mengambil pendekatan yang lebih proaktif, termasuk mengeluarkan peta dan laporan terperinci yang menggariskan lokasi serta punca kegagalan infrastruktur terkini termasuk tanah jerlus dan runtuh," katanya.
Tambahnya, DBKL turut perlu melaksanakan pelan penyelenggaraan menyeluruh untuk menangani masalah jalan berlubang, saliran dan risiko lain.
"DBKL juga perlu melabur dalam teknologi dan alat canggih untuk mengesan serta mengurus isu infrastruktur dengan lebih baik sebelum ia melarat menjadi masalah lebih besar.
"Pemeriksaan berkala dan peningkatan sistem saliran juga akan membantu rakyat menghadapi hujan lebat di Malaysia dan mencegah kegagalan infrastruktur pada masa hadapan.
"Menangani isu-isu ini adalah penting untuk mengurangkan risiko dan memastikan Kuala Lumpur sebagai ibu negara benar-benar boleh dianggap sebagai tempat selamat untuk didiami," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!