Bekas kerani pejabat guaman dituduh menipu tawaran pajakan tanah

M Gabriel Youshua (kanan) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Ipoh pada Khamis atas pertuduhan menipu tawaran pajakan tanah milik Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak (PPPNP) melibatkan kerugian lebih RM300,000, dua tahun lalu.
M Gabriel Youshua (kanan) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Ipoh pada Khamis atas pertuduhan menipu tawaran pajakan tanah milik Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak (PPPNP) melibatkan kerugian lebih RM300,000, dua tahun lalu.
A
A
A

IPOH - Bekas kerani sebuah pejabat firma guaman mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Ipoh pada Khamis atas pertuduhan menipu tawaran pajakan tanah milik Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak (PPPNP) melibatkan kerugian lebih RM300,000, dua tahun lalu.

Tertuduh, M Gabriel Youshua, 64, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret, Siti Nora Sharif.

Mengikut pertuduhan, warga emas terbabit dengan curangnya memperdaya seorang lelaki, K Suppan bagi membuat bayaran menerusi dua cek bank berjumlah RM110,417.25 dan RM220,834.50 dengan menawarkan pajakan tanah PPPNP, mangsa tidak akan menyerahkan pembayaran tersebut sekiranya tidak diperdaya.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Pejabat Peguam The Chamber Of Anuar, Greentown Square, Jalan Datuk Seri Ahmad Said, Ipoh jam lebih kurang 10 pagi pada 14 April 2022.

Bagi kesalahan itu, dia didakwa di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara tidak kurang setahun dan maksimum 10 tahun dan sebat serta hendaklah dikenakan denda.

Timbalan Pendakwa Raya, Nur Aqilah Syaza Ariffin menawarkan wang jaminan RM20,000, namun tertuduh yang diwakili Peguam K Nahtan memohon jaminan dikurangkan lingkungan RM5,000 atas alasan tertuduh tidak lagi bekerja.

Katanya, tertuduh juga bersedia dengan syarat-syarat tambahan yang akan dikenakan.

Mahkamah kemudiannya membenarkan tertuduh diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 11 Oktober depan untuk sebutan semula kes.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!