Bicara kes rasuah anak Hamzah Zainudin Mac tahun depan

Mahkamah Sesyen di sini pada Khamis, menetapkan perbicaraan kes dakwaan menerima rasuah RM100,000 membabitkan Muhammad Faisal Hamzah (kanan) bermula 24 Mac tahun depan.
Mahkamah Sesyen di sini pada Khamis, menetapkan perbicaraan kes dakwaan menerima rasuah RM100,000 membabitkan Muhammad Faisal Hamzah (kanan) bermula 24 Mac tahun depan.
A
A
A

KUALA LUMPUR – Mahkamah Sesyen di sini pada Khamis, menetapkan perbicaraan kes dakwaan menerima rasuah RM100,000 membabitkan anak kepada bekas Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin bermula 24 Mac tahun depan.

Perbicaraan selama 15 hari ditetapkan pada 24 hingga 28 Mac, 14 hingga 18 April dan 21 hingga 25 April 2025.

Semasa prosiding, Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Ikhwan Zaudii Nordin berkata, pihaknya telah menyerahkan dokumen kes kepada pihak pembelaan yang mewakili Muhammad Faisal Hamzah.

“Pihak pendakwaan akan mengemukakan seramai 21 saksi,” katanya ketika prosiding sebutan kes di hadapan Hakim, Rosli Ahmad.

Sementara itu, peguam, Chetan Jethwani yang mewakili Muhammad Faisal, 40, mengesahkan perkara tersebut.

“Saya mohon, mahkamah menetapkan tarikh pengurusan kes sebelum perbicaraan bagi memuktamadkan dokumen dan pernyataan saksi,” katanya.

Selepas mendengar permohonan daripada kedua-dua pihak, mahkamah menetapkan pengurusan kes pada 21 Februari tahun hadapan.

Pada 5 Jun lalu, Muhammad Faisal yang juga seorang perunding syarikat didakwa menerima suapan itu daripada seorang individu sebagai upah bagi Heitech Padu Berhad melantik syarikat Rimba Merpati Sdn Bhd dan Per My Solutions sebagai konsultan pemasaran disebabkan pengaruh yang dimilikinya.

Artikel Berkaitan:

Seterusnya dua syarikat itu dibayar komisen berjumlah RM700,000 selepas Heitech Padu dianugerahkan tender 'Supply, Rental, Implementation, Training, Support and Maintenance of Security Infrastructure' bernilai RM33 juta oleh Suruhanjaya Syarikat Malaysia di sebuah pejabat di Publika Shopping Gallery, Jalan Dutamas 1, di sini pada Mac 2018 lalu.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang boleh dihukum di bawah seksyen 24(1) Akta yang sama.

Seksyen berkenaan memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah suapan, atau jika suapan itu dapat dinilai atau berbentuk wang, atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!