Guna kemudahan aplikasi telefon elak kehilangan orang tersayang

PDRM menyarankan orang ramai menggunakan kemudahan aplikasi telefon pintar untuk mengesan kedudukan sekali gus mengelak kejadian orang hilang.(Gambar hiasan) Foto 123rf
PDRM menyarankan orang ramai menggunakan kemudahan aplikasi telefon pintar untuk mengesan kedudukan sekali gus mengelak kejadian orang hilang.(Gambar hiasan) Foto 123rf
A
A
A

KOTA BHARU - Polis Diraja Malaysia (PDRM) menyarankan orang ramai menggunakan kemudahan aplikasi telefon pintar untuk mengesan kedudukan sekali gus mengelak kejadian orang hilang.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, kemudahan yang ada itu sepatutnya dimanfaatkan selain mengambil tahu ke mana dan dengan siapa anak atau ahli keluarga keluar.

"Saya sendiri sebagai IGP (Ketua Polis Negara) menggunakan kemudahan yang ada di telefon pintar untuk pantau kedudukan anak-anak serta isteri.

"Sekiranya berlaku sesuatu kita boleh kesan keberadaan mereka jika telefon ada bersama," katanya semasa sidang akhbar pada Khamis.

Razarudin (kanan) semasa Majlis Serah Terima Tugas Pemangku Ketua Polis Kelantan sempena persaraan Muhamad Zaki yang bersara wajib pada 31 Ogos ini di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan di Kota Bharu pada Khamis.
Razarudin (kanan) semasa Majlis Serah Terima Tugas Pemangku Ketua Polis Kelantan sempena persaraan Muhamad Zaki yang bersara wajib pada 31 Ogos ini di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan di Kota Bharu pada Khamis.

Sebelum itu beliau menyaksikan Majlis Serah Terima Tugas Pemangku Ketua Polis Kelantan, Deputi Komisioner Mohd Ali Tamby menggantikan Datuk Muhamad Zaki Harun yang bersara wajib pada 31 Ogos ini di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan di sini.

Mengulas mengenai laporan polis berkait kehilangan ahli keluarga, Razarudin memberitahu, orang ramai tidak perlu menunggu tempoh 24 jam, sekiranya dalam masa sejam anak atau ahli keluarga sukar dijejaki mereka boleh segera berbuat demikian.

Ujarnya, beliau telah mengarahkan kepada semua ketua polis negeri dan ketua polis daerah untuk membantu siasatan atas kehilangan kanak-kanak, ahli keluarga mahupun adik-beradik.

Artikel Berkaitan:

"Polis akan bertindak apabila ada kehilangan sesiapa sahaja sama ada ahli keluarga, anak atau dewasa. Ada juga orang dewasa yang hilang akibat nyanyuk.

"Kita bukan sahaja membantu atau menyiasat. Kita (polis) juga membantu orang sesat di gunung cuma kurang pendedahan," katanya.

Menurut beliau, pihaknya bukan sahaja melibatkan pencarian kanak kanak hilang tetapi apa jua bantuan yang sepatutnya polis boleh berikan kepada masyarakat.

Ujar Razarudin, ada juga kes hilang dari rumah bukan kerana diculik tetapi larikan diri akibat masalah keluarga.

"Ini pun kita siasat. Bila rasa anak ini tidak dapat dihubungi buatlah aduan polis," katanya

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!